Umat Islam di Perlis disaran solat sunat Aidilfitri di rumah
ARAU - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan umat Islam di negeri ini untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di rumah bersama keluarga masing-masing berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun.
Menurutnya, Jabatan Mufti Perlis akan menyediakan teks khutbah Aidilfitri yang mudah dan tidak membebankan agar ianya mudah dibacakan oleh ketua keluarga.
“Tahun ini semua ketua keluarga akan menjadi imam kepada keluarga masing-masing dan ini menunjukkan bahawa Islam boleh dilaksana dalam semua keadaan,” katanya kepada pemberita pada satu majlis ringkas di Galeri Istana Arau hari ini.
Pada majlis berkenaan, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyerahkan sumbangan alat pengimbas suhu kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Dr Hazman Hassan untuk kegunaan di 102 buah masjid di Perlis.
Mohd Asri berkata, panduan solat dan prosedur operasi standard (SOP) bagi solat Aidilfitri akan disiapkan dalam masa terdekat bagi membantu orang ramai melakukan solat Aidilfitri di rumah.
Beliau berkata, pihaknya masih menunggu sebarang makluman terkini mengenai situasi semasa koronavirus (Covid-19) oleh pihak berkenaan.
"Jika pada minggu hadapan kerajaan Persekutuan tetapkan ia boleh dilaksanakan di masjid, kita juga akan benarkan tetapi setakat ini memang solat sunat Aidilfitri di Perlis dilaksanakan di rumah,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!