Acara DSA 2020, NATSEC 2020 ditunda ke 2022

Acara DSA 2020, NATSEC 2020 ditunda ke 2022.
Acara DSA 2020, NATSEC 2020 ditunda ke 2022.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2020 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2020 yang dijadualkan berlangsung pada Ogos depan akan ditunda selama hampir dua tahun ke tarikh baharu 28-31 Mac 2022.

Penganjurnya, DSA Exhibition And Conference Sdn Bhd berkata, keputusan itu terpaksa diambil susulan pertimbangan teliti dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk penganjur bersama iaitu Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan pasukan Angkatan Tentera Malaysia.

“Pameran yang sepatutnya diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu mulanya dijadualkan pada April 2020 dan kemudian ditunda pada Ogos depan berikutan penularan Covid-19.

“Namun memandangkan krisis itu masih berlanjutan adalah sewajarnya dan bagi kepentingan semua pihak terbabit untuk menangguhkan acara itu ke awal 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi syarikat, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata, keputusan itu diambil berikutan pendirian syarikat yang perlu mengutamakan kesihatan serta kebajikan semua pihak dan tidak boleh dikompromi.

“Adalah dijangkakan lebih 1,500 syarikat daripada 60 negara dan 350 delegasi VIP dari 30 negara akan menyertainya selain 50,000 pengunjung dari serata dunia. Oleh itu, langkah terbaik adalah dengan meneliti semula tarikhnya bagi memastikan persekitaran perniagaan yang produktif untuk semua pihak berkepentingan,” katanya.

Acara mega itu antara lainnya akan menumpukan segmen yang bukan setakat berkaitan platform pertahanan tetapi juga pertahanan siber, sistem kawalan jarak jauh, penjagaan kesihatan di medan perang selain menyediakan pelbagai peluang bagi pakatan strategik, kerjasama perniagaan dan jaringan antara penggiat utama pertahanan dengan agensi keselamatan dan kerajaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!