Farmasi dikompaun gagal pamer harga hand sanitizer
TELUK INTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenakan kompaun RM1,000 kepada peniaga farmasi yang gagal mempamerkan tanda harga pada cecair pembasmi kuman.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Pejabat KPDNHEP Teluk Intan, Mohd Badrul Hisham Ahmad Alias berkata, kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan khas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekitar Teluk Intan hari ini.
“Hasil pemeriksaan tersebut mendapati sebuah premis farmasi telah gagal untuk meletakkan tanda harga pada cecair pembasmi kuman yang dipamer untuk jualan.
“Satu tindakan telah diambil dan peniaga tersebut dikenakan kompaun serta-merta kerana telah melanggar Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Oleh Penjual Runcit) 1993,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, Pejabat KPDNHEP Teluk Intan telah menjalankan pemeriksaan melibatkan 2,937 premis di bandar dan luar bandar.
“Pihak kami sentiasa membuat pemantauan ke atas peniaga bagi memastikan peniaga mematuhi peruntukan perundangan yang dikuatkuasakan.
“Pengguna juga disarankan menggunakan hak pengguna semasa berbelanja dalam tempoh PKPB ini untuk mengelak dimanipulasi oleh para peniaga,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!