Muhammad Sanusi ganti Mukhriz?
ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Ketua Pembangkang Dun Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor seakan memberi bayangan beliau bakal menerajui Kedah, menggantikan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebaik sahaja kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk.
Walaupun masih berahsia mengenai calon Menteri Besar yang akan menggantikan Mukhriz, Muhammad Sanusi disebut-sebut sebagai calon yang akan diketengahkan oleh kepimpinan peringkat Pusat kepada Istana Kedah.
“Saya ni pemalu sikit bila isu berkait dengan diri saya, saya segan lah nak jawab,” katanya berseloroh ketika diasak media nama calon Menteri Besar baharu, pada sidang media hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Hilang kepercayaan terhadap Mukhriz, PN ambil alih Kedah
Muhammad Sanusi yang juga ADUN Jeneri berkata, perkara itu akan ditentukan presiden gabungan parti PN sebelum dipersembah kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
“Hanya satu nama calon Menteri Besar akan diserah kepada Setiausaha Kerajaan Negeri bagi diperkenan seterusnya menerima tauliah lantikan daripada Sultan Kedah.
"Kita sudah capai konsensus di peringkat Pusat dan menjangkakan proses ini dapat diselesaikan sebelum 18 Mei. Setakat ini, kita belum bincang pembahagian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), namun akan dimuktamadkan segera," katanya.
Mengulas mengenai poster dan surat tular dari PKR Kedah berhubung namanya yang dikaitkan sebagai Menteri Besar baharu, Muhammad Sanusi berkata, ia hanya isu yang digemburkan netizen dan belum sahih.
“Kalau benar PKR Kedah keseluruhan bagi sokongan kepada saya, terima kasihlah sebab bagi sokongan,” katanya.
Menurutnya, sebarang keputusan akan ditentukan PN Pusat, dan peringkat negeri akan melaksanakan apa yag diputuskan secara konsensus setelah ia mendapat kesepakatan bersama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!