Hilang kepercayaan terhadap Mukhriz, PN ambil alih Kedah
ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, 23 ADUN terbabit adalah 15 daripada Pas, empat Bersatu dan masing-masing dua daripada UMNO dan bebas yang juga bekas ADUN PKR.
Menurutnya, penubuhan kerajaan negeri yang baharu itu dibentuk setelah kesemua ADUN hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, seterusnya menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan beliau hilang kuasa mentadbir negeri.
“Atas kesepakatan bersama 19 ADUN serta empat ADUN Bersatu yang tidak hadir hari ini, kami bersetuju membentuk kerajaan negeri baharu atas nama kerajaan Perikatan Nasional.
ARTIKEL BERKAITAN: Kemelut politik Kedah: UMNO desak campur tangan kerajaan PN
Kerajaan di Kedah tidak mampu bertahan lamaDua ADUN PKR keluar parti sudah dijangka: Anwar
"Bagi menyempurnakan proses peralihan kuasa secara tertib dan aman, presiden setiap parti gabungan peringkat Pusat akan mengemukakan nama calon Menteri Besar baharu,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Pas Kedah di sini hari ini.
Hadir sama, dua bekas ADUN PKR iaitu ADUN Lunas, Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee yang mengumumkan keluar parti hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, empat ADUN Bersatu yang memberi sokongan kepada Perikatan Nasional Kedah adalah ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail; ADUN Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadian Saad; ADUN Kuah, Mohd Firdaus Ahmad serta ADUN Ayer Hangat, Juhari Bulat.
"Akuan Bersumpah (SD) semua ADUN terbabit sudah diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman pagi tadi, kecuali Juhari akan serahkan SD esok.
"Empat ADUN Bersatu itu juga akan umumkan sokongan pada Perikatan Nasional Kedah pada sidang media berasingan selewat-lewatnya esok," katanya.
Susulan pengumuman itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila Pas menguasai 15 kerusi, PKR (lima), Amanah (empat), Bersatu dari kem Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), Bersatu dari kem Tun Dr Mahathir Mohamad (dua), UMNO (dua) serta Bebas (dua).
Muhammad Sanusi berkata, pihaknya menunggu masa yang sesuai untuk peralihan kuasa setelah mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan tidak akan mendahului sebarang pengumuman rasmi daripada pihak Istana.
“Kita ambil masa sebab 'durian belum luruh', kita ambil pendekatan tidak gelojoh atau tidak desak mana-mana pihak agar tidak resahkan rakyat di saat pandemik Covid-19.
"Biar proses itu berjalan lancar, saya yakin ia tidak berlarutan lama sebab keputusan sudah ada,” katanya.
Menurutnya, peralihan kuasa akan disusun atur oleh pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) mengikut proses sedia ada tanpa campur tangan mana-mana pihak.
“Untuk saya, mengadap Tuanku bagi menyatakan Perikatan Nasional beroleh majoriti sokongan pun akan diserahkan kepada SUK untuk pilih masa sesuai yang diperkenan Tuanku,” katanya.
Mengulas mengenai desakan Majlis Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang mencadangkan agar DUN dibubarkan, katanya, ia tidak relevan susulan Perikatan Nasional kini beroleh 23 sokongan majoriti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!