'Macam sama dengan krisis 2009'

Insiden kekecohan tercetus apabila Koo Ham dipaksa mengosongkan kerusi Speaker DUN dengan kehadiran beberapa individu yang tidak diketahui ketika mesyuarat tersebut, hari ini.
Insiden kekecohan tercetus apabila Koo Ham dipaksa mengosongkan kerusi Speaker DUN dengan kehadiran beberapa individu yang tidak diketahui ketika mesyuarat tersebut, hari ini.
A
A
A

IPOH - Kekecohan yang berlaku ketika Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Keempat Belas hari ini hampir sama dengan kejadian yang berlaku ketika krisis politik Perak pada tahun 2009.

Ketua Pembangkang, Dr Abdul Aziz Bari berkata, situasi ketika bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ngeh Koo Ham dipaksa meletakkan jawatannya mirip pengalaman yang dialami Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar.

Menurutnya, ketika desakan supaya Koo Ham meletakkan jawatan, secara tiba-tiba sekumpulan petugas mula merapati Ahli Parlimen Beruas itu untuk memberi isyarat agar mengosongkan kerusi Speaker DUN.

"Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu seolah-olah cuba merampas Dewan apabila mengarahkan Bentara Dewan membawa keluar Koo Ham yang ketika itu ingin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Speaker DUN.

"Senario aneh itu menyebabkan Koo Ham mengingatkan Bentara Dewan bahawa beliau masih lagi Yang di-Pertua Dewan dan satu-satunya pihak yang berkuasa untuk mengeluarkan arahan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, tindak-tanduk itu tidak langsung mencerminkan penghayatan terhadap titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika merasmikan mesyuarat tersebut agar ahli politik berpada-pada berpolitik.

Abdul Aziz berkata, insiden yang berlaku di DUN Perak itu amat memalukan terutama dalam keadaan rakyat di luar sedang bergelut dengan keperitan hidup akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Abdul Aziz
Abdul Aziz

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) Perak dalam satu kenyataan pula mengumumkan mereka tidak mengiktiraf pemilihan Speaker DUN Perak yang baharu, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid kerana tanpa persidangan secara sah.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Exco Perak dilantik Speaker DUN Perak

Menurut Ketua Sekretariat PH Perak, V Sivakumar, pemilihan tersebut bersifat berat sebelah dan menyalahi undang-undang apabila persidangan DUN telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

"PH Perak menegaskan sebarang pemilihan Speaker DUN mesti mematuhi perlembagaan negeri dan Perintah-Perintah Tetap DUN Perak iaitu apabila berlaku kekosongan jawatan Speaker DUN, notis sekurang-kurangnya tujuh hari wajib dikeluarkan kepada semua 59 anggota Dewan untuk penamaan calon Speaker DUN yang baharu dan persetujuan calon wajib diperoleh.

"Kerajaan Perikatan Nasional dengan jelas gagal mematuhi kehendak undang-undang dan disebabkan itu pemilihan tersebut tidak sah di sisi undang-undang," katanya menerusi kenyataan itu.

Sivakumar berkata, berikutan itu, PH Perak akan mencabar keputusan tersebut di mahkamah bagi mempertahankan keluhuran perlembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen di negara ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!