ATM perketat kawalan sempadan

Mohd Halim (kanan) dan Noorzainy (kiri) menyaksikan Majlis Menandatangani Nota Serah Tugas Op Penawar Bersama PDRM di antara KAD 3 dan 19 RAMD.
Mohd Halim (kanan) dan Noorzainy (kiri) menyaksikan Majlis Menandatangani Nota Serah Tugas Op Penawar Bersama PDRM di antara KAD 3 dan 19 RAMD.
A
A
A

KEPALA BATAS - Pemantauan rapi akan dilakukan di semua pintu sempadan termasuk lorong tikus yang dikenal pasti bagi memastikan tiada pihak yang cuba merentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) termasuk pada perayaan Aidilfitri.

Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid berkata, kawalan di sempadan negara juga akan diperketatkan bagi menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan melakukan rondaan kerap serta menempatkan pos kawalan.

Menurutnya, pihaknya sudah mengenal pasti laluan tikus yang digunakan PATI dan seramai 500 anggota ditempatkan bagi kawalan sempadan dari Bukit Kayu Hitam ke Weng, Baling dengan jarak 240 kilometer.

"Selain rondaan kerap dan penempatan pos kawalan serta sekatan jalan raya, pemantauan udara menggunakan dron juga dilaksanakan untuk menghapuskan anasir kemasukan PATI ke negara ini.

“Ini antara operasi yang dijalankan ATM untuk menyekat kemasukan PATI serta usaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Halim menghadiri Majlis Menandatangani Nota Serah Tugas Op Penawar Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di antara Kor Amor Diraja (KAD) 3 dan 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara.

Dalam majlis ringkas itu, Pegawai Memerintah Rejimen 3 KAD, Leftenan Kolonel Norazri Mohd Nor menyerahkan nota serah tugas kepada Pegawai Memerintah Batalion 19 RAMD, Leftenan Kolonel Azmi Abdul Rahim.

Majlis itu turut disaksikan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Halim berkata, penyerahan tugas dibuat apabila KAD 3 akan berehat dan Batalion 19 akan menyambung tugas membantu PDRM dalam pelaksanaan operasi Covid-19 di pintu sempadan Seberang Perai termasuk Kuala Muda serta Sungai Petani.

“Kita yakin dengan keupayaan Batalion 19 yang sebelum ini sudah bertugas dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama sebelum direhatkan selama tiga minggu dan kini kembali untuk membantu polis melaksanakan PKPB sehingga 9 Jun ini.

“Terima kasih kepada ketua KAD 3 yang menjalankan tugas dengan cemerlang serta Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Negeri yang memberikan kerjasama baik sepanjang bertugas dalam Op Covid-19,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!