Lantang biar bertempat
Pendekatan pendakwah muda dalam berdakwah mendapat pertikaian ramai
Semuanya tercetus selepas PU Syed didakwa lebih banyak mencetuskan cercaan berhubung isu klip video penyanyi itu, Can't Forget Me. Fazura dikatakan telah beraksi seksi namun sebenarnya, kenyataan selebriti itu telah disalah ertikan media tertentu.
Suami kepada heroin Gol & Gincu, Fattah Amin dilaporkan tersinggung dengan pendekatan PU Syed. PU Syed ialah juara program PU 2015 musim ketiga dalam program akhir Mimbar Pencetus Ummah.
Amarah Fattah nampaknya sukar dibendung apabila dia memuat naik kenyataan sinikal yang berbunyi: “Apalah salahnya jika kami dihubungi terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian? Wajarkah fitnah itu dijadikan bahan populis dalam akaun media sosial beliau serta mengundang pelbagai cercaan fitnah terhadap kami?"
Enggan mengeruhkan lagi keadaan, PU Syed dipuji kerana tampil berani dengan memohon maaf secara terbuka selepas itu.
Kes Fattah dan Fazura ini sebenarnya hanyalah salah satu contoh. Ada beberapa lagi situasi melibatkan pendakwah muda yang telah menimbulkan amukan dalam kalangan selebriti mahupun orang awam.
Bila hal-hal yang tidak enak seperti ini berlaku, lontaran pertikaian terhadap kredibiliti seorang pendakwah baharu yang rata-ratanya lahir dalam program realiti semakin diperdebatkan. Semuanya terkena tempias negatif. Benar kata pepatah, disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga.
Masyarakat tertanya-tanya, adakah ragam pendakwah baharu sememangnya begini? Kenapa tergopoh-gapah dalam membuat teguran? Bukankah Islam menganjurkan kita berhemah ketika memberi nasihat? Kenapa perlu bersikap sedemikian sedangkan seorang pendakwah semestinya telah dididik untuk melakukan dakwah secara sopan dan berperkerti?
Bukankah pendekatan kasar itu nanti akan mengundang fitnah terhadap agama pada akhirnya? Menjadi kerisauan, netizen kini semakin 'ganas' dan menunjukkan 'kuasa' mereka di dalam alam maya. Mereka tanpa rasa bersalah berterusan membuat tuduhan. Namun paling mengecewakan, ada di antaranya melemparkan pertikaian terhadap ilmu dan akhlak seseorang pendakwah yang tugasnya berjuang mempertahankan Islam.
Syarat berdakwah
Menjawab kepada isu ini, Pengasas Pertubuhan Mualaf Pelbagai Bangsa, Firdaus Wong Wai Hung atau dikenali sebagai Bro Firdaus, mempunyai hujahnya.
Jelas Firdaus, istilah lantang sememangnya perlu dalam berdakwah. Namun, ada syaratnya. Kelantangan itu harus menggunakan perkataan yang baik, tidak kasar, tidak mencarut apatah lagi memaki hamun, ujar beliau.
"Kelantangan perlu disulami dengan kebaikan dan solusinya, bukannya sekadar mengkritik tanpa rasional," katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Jihad yang paling utama ialah mengatakan kebenaran (berkata yang baik) di hadapan penguasa yang zalim.” (Riwayat Abu Daud & Tirmidzi).
Bagaimanapun, Firdaus berkata, dakwah akan menjadi lebih signifikan pada ketika ramai yang 'lantang tidak bertempat' dan membutirkan kata-kata tidak elok. Dalam hal ini, ujar beliau, jikalau pendakwah yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran tidak berani menegur, nescaya dikhuatiri akan berlaku lebih kerosakan dalam masyarakat. Pun begitu, Firdaus sangat berharap akan mereka yang mempunyai jawatan dan kuasa, tidak memilih prinsip berdiam diri sekiranya terdapat kemungkaran yang berlaku di sekeliling mereka.
Jangan ghairah
Mengulas lanjut, Firdaus menasihatkan kepada pendakwah di luar sana agar tidak terlalu ghairah dalam membuat ulasan atau memberi nasihat.
"Perlu siasat kesahihan sesuatu berita terlebih dahulu sebelum membicarakan apa-apa," tegasnya.
Justeru, apa tatacara dakwah yang baik dan bermakna?
"Dakwah terbaik adalah dengan menunjukkan akhlak dan adab Islamik di dalam kehidupan seharian. Apa sahaja yang bercanggah dengan ajaran Islam, perlu dijauhi, sementara yang baik pula perlu dipraktikkan dengan sebaik mungkin tanpa alasan," ungkapnya.
Tip yang paling signifikan ialah seseorang pendakwah perlu memperbetulkan niat sebelum menegur.
"Pastikan niat menegur itu adalah bertujuan untuk mendapat reda ALLAH dan bukannya dipuji oleh masyarakat atau nampak hebat di sisi manusia.
"Bukan juga untuk memalukan orang lain dengan teguran dan nasihat. Adakalanya, tujuan menegur itu bukannya untuk membawa individu tersebut kembali ke pangkal jalan, sebaliknya hanya mahu memalukannya,” kata beliau panjang lebar.
Dalam situasi tertentu, Firdaus berkata, nasihatilah seseorang itu secara rahsia.
"Jikalau seseorang itu melakukan kemaksiatan secara terang-terangan dan kita mampu menegurnya secara rahsia, itulah lebih baik," tuturnya lagi.
Namun, sekiranya tidak memiliki akses untuk menasihati seseorang secara peribadi atau seseorang itu tidak merasa bersalah di atas kemungkarannya (sehingga boleh mempengaruhi orang, lain) maka tegurlah secara terbuka.
“Ia bukan bertujuan mengaibkan individu itu tetapi demi menjaga kemaslahatan masyarakat agar tidak terpengaruh dan jatuh dalam kemaksiatan,” jelasnya.
Dalam erti kata lain, nasihatkanlah manusia dengan lembut, sopan dan penuh kasih sayang. Firaun yang paling kejam dan keras itu pun, ALLAH SWT tetap memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun agar menasihatinya dengan lemah lembut.
"Bencilah dosa yang dilakukan tetapi sayangi si pendosa itu. Tugas kita sebagai Muslim hanya untuk menasihati dan jangan sesekali memaksa sesiapapun untuk menerimanya," ujar beliau.
Dalam Surah An-Nahl 16:125 menyebut: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik)."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!