Metrojaya lakukan pembersihan barang 'kulat'
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Gedung beli-belah Metrojaya menjalani proses pembersihan dan membasmi kuman secara menyeluruh susulan kerosakan pada barangan kulit serta pakaian di cawangan Metrojaya Suria Sabah di Kota Kinabalu semalam.
Menerusi Facebook rasminya, pihaknya memandang serius dalam tugas pembersihan di premis untuk pastikan keadaan selamat dan bersih sebelum dibuka kepada pelanggan pada 13 Mei ini.
"Kami pandang serius perkara yang tular di laman sosial melibatkan barang-barang di sini mengalami kerosakan pada barangan kulit serta pakaian di bahagian jualan.
"Sebelum dibuka kepada orang ramai, kami lakukan pembersihan buat pelanggan kami yang dihargai," menurutnya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beberapa video dimuat naik di Facebook berkenaan juga menunjukkan kakitangan gedung beli-belah itu melakukan pembersihan pada barangan yang rosak dan dikeluarkan daripada rak pameran serta digantikan dengan stok baharu.
Hari ini, pihak terbabit juga memuat naik beberapa keping gambar barang jualan telah bersih dan bersedia menerima pelanggan.
Sebelum ini tular di laman sosial, beberapa keping gambar menunjukkan barangan seperti kasut, tali pinggang, dompet berkulat dipercayai di Metrojaya Suria Sabah mengalami rosak teruk, berkulat selepas premis terbabit tidak dibenarkan operasi susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!