PGA Batalion 9 rampas 20,000 rokok elektronik
RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu merampas 20,000 batang rokok elektronik dan sebuah pacuan empat roda jenis Hilux yang dianggarkan berjumlah RM100,000 selepas menahan seorang lelaki di Kampung Banggol Kong, Jeram Perdah di sini semalam.
Lelaki berusia 30-an itu ditahan pada jam 9.15 pagi semasa anggota PGA Batalion 9 Kuala Terengganu menjalankan tugas di sekatan jalan raya.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintenden Nor Azizan Yusof berkata, semasa melakukan pemeriksaan di sekatan itu pihaknya telah menahan sebuah kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori berkenaan membawa kepada penemuan dua kotak yang mengandungi 20,000 batang rokok elektronik," katanya.
Menurutnya, siasatan awal dilakukan ke atas suspek mendapati rokok tersebut cuba diseludup masuk ke Thailand secara haram menggunakan laluan tidak sah.
Katanya, suspek dan barang kes kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 15 (4a) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
Nor Azizan berkata, sebelum itu, PGA Batalion 9 Kuala Terengganu berjaya menahan seorang lelaki berusia 30an bersama 5.5 gram dadah jenis syabu, pelbagai jenis wang tunai berjumlah RM19,000 serta sebuah motosikal Yamaha 125 ZR berhampiran Pos Nibong, Simpangan di Tumpat.
Katanya, suspek kemudian diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk tindakan selanjutnya.
Nor Azizan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) ADB 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!