Lagi kerenah birokrasi
AWANG terkejut juga baca pasal kerenah birokrasi yang sulitkan tuntutan elaun Covid-19 bagi frontliners kita. Kenapa jadi begitu? Kan kerajaan dah janji nak bagi elaun kepada para petugas barisan hadapan yang berkhidmat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?
Inilah masalahnya apabila orang atas cakap lain, tindakan orang bawah lain pula. Macam kes moratorium pinjaman juga. Mujur hal itu dah selesai.
Awang rasa sedih soal birokrasi jejaskan bayaran elaun itu. Mereka yang terlibat anggap birokrasi kerajaan tak ikhlas kepada mereka. Macam kes anggota polis yang terlibat, terpaksa isi tiga set borang yang setebal 20 muka surat bagi setiap set. Tan Sri Ketua Polis pun buat kenyataan minta dikurangkan ke-renah birokrasi dalam hal ini.
Petugas kesihatan juga hadapi masalah yang sama. Ada yang naik fed up kata orang putih, malas nak tuntut. Mereka anggap banyak sangat prosedur yang dikenakan. Tuntutan yang bakal dapat bukan banyak sangat, RM200 saja itu bagi yang bekerja lebih 15 hari, dan bertugas lebih lapan jam sehari.
Awang harap Tan Sri Perdana Menteri tengok-tengoklah hal ini. Kita puji frontliners bukan main. Kita anggap mereka hero rakyat. Tapi nak bagi ganjaran RM200 kena isi 60 halaman borang!
Dalam keadaan kecemasan kurangkanlah birokrasi. Mereka yang bekerja di medan depan tak pernah fikir elaun atau masa yang mereka korbankan. Atau keselamatan mereka.
Tapi bila nak bagi ganjaran sedikit, bukan main susahnya!
Di mana adab ADUN kita?
AWANG rasa malu apa yang berlaku pada sidang Dewan Undangan Negeri Melaka dua hari lalu. Bukanlah dalam sidang dewan undangan negeri selama ini tak berlaku pertikaman lidah. Tapi apa yang berlaku di Melaka, sangat dikesali.
Memang kita tahu ada masalah di Melaka. Sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, pembangkang tak ada majoriti lagi. Speaker orang zaman PH.
Bila sidang nak bermula, Datuk Seri Idris Harun halang Datuk Wira Omar Jaafar sebagai Speaker memulakan sidang. Idris kata berdasarkan Peraturan Tetap DUN, Omar tak layak jadi Speaker. Lalu berlakulah perbalahan.
Idris akhirnya melemparkan naskhah Peraturan Tetap kepada Omar.
Awang cuba nak bayangkan, apakah tindakan Idris sekiranya orang buat begitu kepada beliau semasa beliau jadi Ketua Menteri dulu. Awang tak ingat pun perkara seperti itu pernah berlaku.
Semarah mana ahli Dewan kepada Speaker atau Ketua Menteri, tak pernah mereka buat begitu. Yang peliknya Idris pertahan tindakannya.
Tambah sedih Awang bila dua ahli Dewan yang lain, Norhizam Hassan Bakte dan Low Chee Leong bertikam lidah. Ada perkataan yang sangat kesat lagi menghina dilontarkan. Awang pun tak sanggup nak tulis apa perkataan itu di sini. Khabarnya mereka nyaris bertumbuk kalau tak dileraikan.
Awang sekadar nak tahu apa sudah jadi kepada wakil yang dipilih oleh rakyat? Apakah dek kuasa dan bongkak menghalalkan semua perbuatan di Dewan yang mulia?
Adab siapa agaknya yang harus rakyat ikut pada masa ini?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!