Amalan membaca masih sederhana

Dari kiri: Dr Teo Kok Seong dan Mutalib Uthman
Dari kiri: Dr Teo Kok Seong dan Mutalib Uthman
A
A
A

SHAH ALAM - Amalan membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia masih berada pada tahap sederhana walaupun terdapat peningkatan daripada kajian sebelum ini, namun jumlahnya tidak jauh berbeza.

Felo Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, faktor budaya dan sokongan masyarakat memainkan peranan dalam mengubah keadaan itu.

“Saya kira sokongan daripada masyarakat itu penting. Penerbitan akhbar Cina, misalnya, masih lagi ‘bernafas’ sehingga kini apabila masyarakat Cina terus memberi sokongan mereka kepada surat khabar itu.

“Ini termasuk dalam isu budaya dan pendidikan. Mereka yang kaya cukup bermurah hati menyumbang dan sikap itu dilihat agak berbeza dengan golongan sama dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

“Sokongan kurang daripada masyarakat Melayu ini sendiri menjadi faktor Utusan Malaysia ditimpa masalah selain faktor kerajaan pada masa itu juga tidak mahu membantu,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masyarakat di Malaysia perlu menanam semangat untuk memelihara budaya membaca surat khabar dalam kalangan mereka kerana industri itu telah banyak menyumbang jasa.

“Yang pertamanya ia adalah untuk rakyat itu juga kerana membaca itu bagus selain mempunyai pelbagai sebab lain dan dalam masa sama dapat untuk membantu meneruskan industri penerbitan ini.

“Pihak kerajaan juga boleh melakukan banyak perkara berhubung perkara itu bagi membantu industri termasuk melalui bantuan kewangan menerusi pelbagai bentuk subsidi dan sebagainya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, bantuan subsidi kerajaan bukan sahaja dapat menyuburkan lagi amalan membaca, tetapi dapat mengurangkan beban rakyat sekiranya harga surat khabar, komik dan sebagainya jauh lebih murah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kota Buku (PKB), Mutalib Uthman memberi gambaran bahawa pembacaan buku meningkat ketika ini.

Beliau berkata, peningkatan tersebut diukur melalui penjualan buku dalam talian khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun, kalau ada penjual buku kata penjualan mereka meningkat itu bukanlah bermaksud berlakunya peningkatan dalam amalan pembacaan itu sendiri.

“Keadaannya begini kalau orang yang sudah biasa mem¬baca mereka akan tetap mencari bahan untuk bacaan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, peningkatan penjualan buku dalam talian berlaku kerana masyarakat di negara ini banyak menghabiskan masa mereka bersama keluarga di rumah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!