Makna tersirat dalam lagu hari raya

No Image Caption
A
A
A

Lagu Dendang Perantau ciptaan dan nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sudah berusia lebih 60 tahun. Walaupun lagu lama, generasi baharu lebih menggemari karya klasik itu, sama seperti mereka menyukai lagu Selamat Hari Raya dendangan Saloma dan Aidilfitri nyanyian Sanisah Huri.

Lagu Dendang Perantau menjadi sebutan netizen selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 9 Jun, melepasi tarikh Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada 24 Mei ini.

Ketika rakyat Malaysia tidak dibenarkan balik kampung, lagu seperti Dendang Perantau sedikit sebanyak menjadi penawar dan pembangkit semangat dalam keterpaksaan beraya di rumah sendiri tahun ini demi memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Hakikatnya, 1 Syawal memiliki keajaiban dalam mengembalikan fitrah manusia ke akar budaya dan agamanya, tidak kira setinggi mana pun pangkat. Kerana itulah Perdana Menteri sendiri mengakui jiwanya juga terusik jika kerap mendengar lagu tersebut.

Lagu-lagu raya di Malaysia berasa dekat di hati kerana ia menceritakan cara sambutan hari raya dari dahulu sampai sekarang: tentang keterujaan anak rantau pulang ke desa bertemu orang tua, suasana berkumpul bersama sanak saudara, kegembiraan kanak-kanak mengumpul duit raya dan hidangan tradisi seperti lemang, ketupat dan dodol.

Lagu-lagu ini menggambarkan betapa sedihnya berhari raya tanpa ibu bapa, keluarga, mahupun kekasih hati. Tidak kurang juga unsur-unsur pengajaran, silaturahim dan ketuhanan.

Setiap lagu raya pula membawa maksud dan kenangan yang berbeza-beza bagi setiap orang.

Lagu Dendang Perantau mengingatkan pada kampung halaman, Suasana Hari Raya menghimpunkan nostalgia masa kecil manakala Suatu Hari Di Hari Raya mungkin mengimbau detik manis bersama kekasih hati.

Artikel Berkaitan:

Segala kisah dan kemeriahan dalam lagu-lagu raya ini jika dikaut dan dihimpun, pasti intinya perasaan kebahagiaan menyambut lebaran yang merupakan nikmat yang tidak dapat didustakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!