Lemang jagung istimewa Pak Hamid

Lemang jagung yang siap dibakar dan sedia untuk dinikmati. Jagung yang diadun bersama beras pulut sebelum dimasukkan ke dalam buluh lemang.
Lemang jagung yang siap dibakar dan sedia untuk dinikmati. Jagung yang diadun bersama beras pulut sebelum dimasukkan ke dalam buluh lemang.
A
A
A

Usaha seorang warga emas menambah jagung dalam lemang agar rasanya lebih enak berjaya mencipta kelainan terhadap resipi makanan tradisi berkenaan.

Lemang tersebut kini menjadi perhatian susulan permintaan tinggi daripada orang ramai, khususnya penduduk Batu 9 di Tanjong Karang, Selangor.

Pengusahanya, Hamid Ngadi, 60, berkata, dia tidak menyangka resipi inovasi yang diolah itu mendapat sambutan ramai, sekali gus menambah sumber pendapatannya sepanjang Ramadan ini.

“Tahun ini saya mula menjual lemang jagung. Sebelum ini lemang jagung ini saya buat untuk hidangan keluarga sahaja.

“Anak-anak cadangkan saya jual lemang jagung ini untuk tambah kelainan di bazar Ramadan,” katanya kepada Sinar Harian.

Imarul Safex mengisis santan ke dalam lemang jagung yang sedia untuk dibakar.
Imarul Safex mengisis santan ke dalam lemang jagung yang sedia untuk dibakar.

Hamid berkata, perniagaan lemang itu diusahakan bersama isterinya, Siti Partimah Tahir, 59, dan anaknya, Imarul Safex, 36.

Bagaimanapun, katanya, lemang berkenaan hanya dijual secara dalam talian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

“Tak sangka pula perniagaan dalam talian ini mendapat sambutan lebih baik kerana saya mampu menjual 50 hingga 80 batang lemang sehari.

“Sebelum ini saya hanya mampu menjual sekitar 30 batang lemang biasa di bazar Ramadan,” katanya yang berniaga lemang di bazar Ramadan di Tanjong Karang sejak tiga tahun lalu.

Tahan dua hari

Hamid berkata, lemang jagung hasil ciptaannya itu mempunyai rasa lebih lemak dan manis serta mampu bertahan sehingga dua hari.

Katanya, cara pembuatan lemang jagung sama macam lemang biasa malah sedikit lama sehingga mengambil masa lima jam bagi menjamin ketahanannya.

Imarul Safex, Hamid dan membakar lemang di halaman rumahnya.
Imarul Safex, Hamid dan membakar lemang di halaman rumahnya.

“Teknik pembuatannya masih menggunakan bahan asli dan berkualiti bagi memastikan keenakannya.

“Ia masih menggunakan beras pulut, santan, garam dan daun pisang sebagai alas isi lemang selain jagung sebagai bahan tambahan,” katanya

Hamid berkata, setiap 50 kilogram beras pulut mampu menghasilkan kira-kira 80 batang lemang jagung sehari.

“Sebanyak 200 buluh lemang diperlukan bagi memenuhi keperluan pelanggan sepanjang Ramadan ini.

“Kami mendapatkan bekalan buluh lemang dari Kuala Langat, setiap dua kali seminggu penghantaran,” katanya.

Imarul Safex memasukkan beras pulut ke dalam buluh lemang sebelum dibakar.
Imarul Safex memasukkan beras pulut ke dalam buluh lemang sebelum dibakar.

Menurutnya, mereka yang berminat menikmati keenakan lemang jagung itu boleh menempahnya melalui Facebook dan WhatsApp

“Proses penyediaannya bermula pada jam 7. 30 pagi dan kita biasanya mengambil tempahan sehari lebih awal,” katanya.

Jelasnya, perkhidmatan penghantaran lemang itu dilakukan menggunakan kaedah pembayaran tunai semasa serahan (COD).

“Kami membuat penghantaran secara percuma kepada penduduk sekitar kawasan sehingga Parit 4.

“Caj RM2 pula dikenakan jika penghantaran sehingga ke Kuala Selangor,” katanya.

Katanya, dia menjual setiap batang lemang dibakar antara RM14 hingga 15 sebatang.

Selain itu, tambahnya, pelanggan juga boleh mendapatkan rendang daging pada harga RM5.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!