Tabung Sedekah Subuh pupuk anak-anak sikap pemurah

Isteri Adnan, Norlidza bersama anak bongsu mereka, Muhammad Amzar Syuib memasukkan wang ke Tabung Sedekah Subuh pada setiap hari.
Isteri Adnan, Norlidza bersama anak bongsu mereka, Muhammad Amzar Syuib memasukkan wang ke Tabung Sedekah Subuh pada setiap hari.
A
A
A

SHAH ALAM - Peluang merebut pahala berganda pada Ramadan kali ini tidak disia-siakan Adnan Mat, 55, sekeluarga, malah turut mewujudkan Tabung Sedekah Subuh khusus untuk meneruskan amalan bersedekah kepada golongan memerlukan pada bulan mulia ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) itu berkata, lazimnya amalan bersedekah itu dilakukan mereka sekeluarga selepas selesai solat Subuh pada setiap hari sama ada di surau atau masjid.

“Disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) berlaku pada Ramadan kali ini, ia tidak dapat dilakukan di surau atau masjid seperti selalu.

“Sebab itu, saya wujudkan Tabung Sedekah Subuh di rumah dan wajibkan anak-anak termasuk isteri, Norlidza Abdul Hamid, 53, untuk masukkan duit semampu yang boleh setiap hari selepas solat Subuh sejak Ramadan pertama lagi,” katanya.

Menurut ulama, katanya, sedekah terbaik adalah selepas Subuh.

“Jadi duit yang terkumpul ini akan diserahkan kepada mana-mana tabung masjid secara berperingkat dan kepada fakir miskin atau golongan asnaf,” katanya.

Adnan (berdiri, kanan) bersama isteri dan lima anak mereka.
Adnan (berdiri, kanan) bersama isteri dan lima anak mereka.

Beliau berkata, aktiviti itu juga bertujuan menerapkan sikap pemurah dalam diri lima anaknya terutama yang bongsu, Muhammad Amzar Syuib, 10.Katanya, aktiviti bersedekah itu juga diteruskan untuk frontliners melalui program Cuepacs.

Artikel Berkaitan:

Adnan yang juga kakitangan Majlis Perbandaran Sungai Petani berkata, Ramadan kali ini juga banyak diluangkan bersama keluarga untuk solat berjemaah serta bertarawih.

“Sebelum ini saya kerap berulang alik dari Putrajaya ke Kedah kerana tugas hakiki tetapi hikmah PKP di bulan Ramadan ini, banyak masa dapat saya berikan kepada keluarga untuk melakukan aktiviti atau ibadah bersama.

“Pada waktu lain, saya turut mengikuti ceramah serta mendengar majlis ilmu daripada ustaz-ustaz terkemuka melalui televisyen, Facebook Live serta siaran tertunda di media sosial,” katanya.

Menurutnya, beliau juga memperuntukkan sekurang-kurangnya satu jam untuk membaca bahan ilmiah setiap hari.

Bercerita lanjut mengenai amalan pemakanan sihat sepanjang Ramadan, Adnan berkata, kebiasaannya beliau akan berbuka dengan dua biji kurma dan air teh O suam.

“Makanan berat pula semuanya terpulang kepada isteri tetapi hidangan sayuran hijau memang wajib ada.

“Isteri memang suka memasak terutamanya nasi daging dan nasi Arab. Juadah itu juga akan kami kongsi dengan jiran,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!