Jangan pandang ringan gejala kebas kaki

Dr Neoh Eu Rick
Dr Neoh Eu Rick
A
A
A

PENYAKIT arteri periferal (PAD) atau bahasa mudahnya saluran darah kaki tersumbat mungkin tidak popular dalam kalangan masyarakat kita seperti mana serangan jantung atau angin ahmar. Bagaimanapun, jika ia tidak diubati, penyumbatan darah di bahagian kaki boleh menyebabkan penyakit vaskular periferi yang mana, kaki pesakit akan dipotong kerana tidak lagi boleh diselamatkan.

PAD dikategorikan sebagai penyakit yang disebabkan salur darah menjadi sempit kerana tersumbat pada bahagian kaki. Ia sama seperti penyumbatan salur darah ke jantung atau otak yang mengakibatkan serangan jantung atau angin ahmar (strok).

Bagi mengetahui punca berlakunya PAD dan bagaimana rawatannya, ikuti temubual wartawan Sinar Harian, SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI bersama Pakar Kardiologi Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr Neoh Eu Rick.

Apakah penyakit PAD?

PAD adalah saluran darah pada bahagian kaki tersumbat dan ia boleh berlaku secara tiba-tiba. Ia disebabkan oleh plak aterosklerotik, ia sama seperti yang berlaku di jantung atau kepala cuma PAD berlaku di bahagian kaki yang boleh menyebabkan gangren.

Ia boleh berlaku dengan cepat, dalam tempoh sehari hingga dua hari disebabkan darah beku. Kaki akan bertukar warna dan jika dibiarkan, ia akan jadi hitam malah saiz kaki juga akan mengecil. Ini paling bahaya sebab ia sama seperti serangan jantung.

Siapa yang berisiko tinggi diserang PAD?

Mereka yang berisiko tinggi untuk diserang PAD adalah mereka yang mengamalkan amalan gaya hidup tidak sihat. Selain itu, mereka yang menghidap diabetes, darah tinggi, buah pinggang dan masalah paras kolesterol tinggi paling mudah diserang PAD.

Artikel Berkaitan:

Kelazimannya, 30 hingga 40 peratus daripada rakyat Malaysia yang menghidap diabetes akan diserang PAD.

Mereka akan mengalami arteri yang akan mengeras dan menyempit seiring pertambahan usia. Bagaimanapun, perkara ini berlaku lebih cepat kepada mereka yang mempunyai berat badan berlebihan (obesiti), perokok dan mempunyai sejarah ahli keluarga yang menderita akibat PAD, penyakit jantung koronari serta angin ahmar.

Apakah simptom yang akan dirasai pesakit PAD?

Pesakit yang diserang PAD akan mengalami kaki kejang, sakit dan berasa dingin secara tiba-tiba. Ramai yang menganggap penyakit ini tidak terlalu bahaya tetapi sebenarnya penyumbatan darah pada bahagian kaki boleh menyebabkan penyakit vaskular periferi. Penyakit ini amat berbahaya jika tidak dirawat kerana akan menyebabkan rasa sakit berpanjangan pada anggota itu sebelum kesan gangren menyebabkan lebam atau hitam.

Jika tidak dirawat segera, lama kelamaan keadaan bertambah buruk seterusnya menjadi hitam kerana sel telah mati. Lebih teruk apabila kaki pesakit terpaksa dipotong. Namun, ada juga pesakit PAD yang awalnya tidak mengalami sebarang gejala atau tanda, tetapi lama kelamaan kaki akan bertukar warna dan mengecil tanpa disedari.

Ujian imbasan untuk menentukan indeks brakial pergelangan kaki untuk dibandingkan dengan bacaan indeks pada tangan.
Ujian imbasan untuk menentukan indeks brakial pergelangan kaki untuk dibandingkan dengan bacaan indeks pada tangan.

Bagaimana cara diagnosis bagi menentukan seseorang pesakit itu mengalami PAD?

Terdapat beberapa cara antaranya ujian imbasan untuk menentukan indeks brakial pergelangan kaki (ankle brachial index atau ABI). Sekiranya indeks bacaan kurang 0.9 daripada bacaan indeks tekanan darah di tangan, maka pesakit itu menghidap PAD. Bacaan indeks ABI di kaki perlu tinggi daripada tangan, jika kurang, maknanya ada saluran yang tersumbat.

Selain itu, pesakit juga boleh menjalani ujian ultrasound dan ujian CT Angriogram. Ujian paling tepat adalah Peripheral Angiogram iaitu memasukkan tiub pada kaki untuk mengesan tempat yang mengalami penyumbatan. Kos CT Angriogram adalah RM1,500 manakala Peripheral Angiogram pula kira-kira RM5,000.

Bagaimana cara untuk merawat pesakit PAD?

Rawatan yang akan dilakukan adalah Angioplasty iaitu memasukkan belon atau tiub besi khas ke dalam bahagian berkenaan yang akan membuka ruang untuk pengaliran darah semula dengan betul.

Rawatan ini membantu pesakit sembuh dan bahagian luka itu akan hilang dalam masa ditetapkan. Disiplin juga penting, yang mana jika menjaga kesihatan dengan baik, teratur dan sering mengikut nasihat pakar perubatan, penghidap PAD boleh membebaskan diri daripada penyakit ini.

Pesakit juga memerlukan bantuan pakar ortopedik untuk mencuci tisu mati dan pembersihan luka setiap hari selain pemberian antibiotik kepada pesakit untuk matikan kuman.

Gambar sebelah kiri menunjukkan saluran darah tersumbat apabila manakala gambar sebelah kanan setelah rawatan diberikan.
Gambar sebelah kiri menunjukkan saluran darah tersumbat apabila manakala gambar sebelah kanan setelah rawatan diberikan.

Boleh terangkan bagaimana rawatan Angioplasty dijalankan?

Angioplasty adalah prosedur minimal invasif. Prosedur pintasan iaitu memasukkan tiub ke dalam bahagian tersumbat untuk membantu membuka saluran. Angioplasty belon akan dimasukkan ke bahagian tertentu dengan cara belon dikembangkan apabila berada di bahagian tersumbat itu untuk membesarkan salur darah.

Jika penyumbatan disebabkan kolesterol, kita kena guna belon untuk memecahkannya kerana ia kenyal. Di kaki, kita jarang guna ‘stand’ kerana ia terlalu panjang. ‘Stand’ selalunya digunakan di jantung. Proses angioplasty hanya 30 hingga 45 minit dan hanya dengan ubat bius lokal di kaki. Ia bukan pembedahan.

Adakah rawatan Angioplasty berkesan?

Tujuan utama rawatan ini adalah untuk mengelak kaki pesakit dipotong kerana risiko untuk pesakit meninggal dunia selepas itu adalah tiga kali ganda. Ini kerana, ia ada hubung kait dengan jantung dan beberapa organ lain sekiranya kaki dipotong. Rawatan awal dapat membantu pesakit dan membolehkan mereka sembuh sepenuhnya bagi menjalani kehidupan normal. Bagaimanapun, jika sudah terlampau teruk, kita akan potong sedikit sahaja pada bahagian yang rosak teruk.

Di Malaysia, statistik menunjukkan lebih 10,000 pesakit terpaksa menjalani pemotongan kaki yang mana 40 peratus daripada kes ini boleh dielak jika mereka menerima rawatan awal. Mereka yang kehilangan anggota badan selepas dipotong mempunyai peratusan tinggi untuk meninggal dunia kerana mengalami jangkitan kuman pada bahagian jantung. Paling penting, masyarakat perlu ada kesedaran mengenai PAD kerana ramai tidak tahu penyakit ini boleh dirawat pada peringkat awal tanpa kaki dipotong.

Apa yang boleh dijangkakan selepas rawatan dijalankan?

Luka yang disebabkan rawatan ini akan sembuh dengan baik dan disiplin pesakit juga perlu tinggi dengan mendapatkan perkhidmatan mencuci luka kerana ia amat penting. Ia bagi mengelakkan jangkitan kuman dan jika ia berlaku, pesakit perlu mengambil antibiotik.

Selain itu, mereka juga perlu mengubah gaya hidup iaitu berusaha berhenti merokok bagi perokok tegar yang lebih terdedah dan bahaya kerana sukar sembuh. Selain itu, gaya pemakanan tidak sihat juga perlu diubah. Mereka yang mempunyai masalah tahap kolesterol tinggi perlu mengawalnya kerana penyakit ini akan mengecilkan perjalanan darah ke anggota penting.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!