Dari media sosial ke jinjang pelamin

Syed Izz dan dan Nur Najihah diijabkabulkan dalam Majlis Walimatulurus Perdana Parlimen Marang.
Syed Izz dan dan Nur Najihah diijabkabulkan dalam Majlis Walimatulurus Perdana Parlimen Marang.
A
A
A
MARANG - Siapa sangka, bermula dari laman sosial, seorang pemuda kurang upaya (OKU) akhirnya menamatkan zaman bujangnya bersama gadis pilihannya dengan ikatan perkahwinan.

Di sebalik kemeriahan 31 pasangan berkahwin dalam Majlis Walimatulurus Perdana Parlimen Marang, anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) terselit kisah cinta mereka bermula di Facebook.

Syed Izz Zahiruddin Syed Kamaruddin, 25, dan pasangan, Nur Najihah Mohamad, 24, tidak menyangka perkenalan mereka di laman sosial itu akhirnya menyatukan mereka dalam majlis berkenaan.

Menurut Syed Izz, semuanya bermula lima tahun lalu namun ketika itu hanya sebagai kawan sebelum menjalinkan hubungan lebih serius dua tahun lalu dan akhirnya mereka benar-benar disatukan.

“Selepas berkawan secara serius dengannya sejak dua tahun lalu, kami kemudiannya bertunang dua bulan lepas. Saya menetap di Kuala Ibai dan sebelum ini kami banyak berhubung melalui telefon saja.

“Mungkin sudah tertulis jodoh kami dan isteri menerima segala kekurangan diri saya. Saya mula berkerusi roda selepas diserang demam panas ketika masih kecil,” kata anak sulung dari tiga beradik itu, hari ini.

Bagi Nur Najihah pula, kejujuran suami dan usahanya menghalalkan hubungan mereka membuatkan hatinya terpaut untuk mencintai lelaki itu sehingga bersetuju untuk menjadi suri hidup Syed Izz.

Pengantin baharu itu turut memuji penganjuran program itu kerana ia membantu golongan muda seperti mereka melangsungkan perkahwinan tanpa mengeluarkan perbelanjaan tinggi, namun masih tetap meriah.

“Kos perkahwinan paling kurang dalam RM10,000. Bila ada program begini, hanya perlu keluar belanja untuk keluarga dan yang perlu sahaja. Makan, pakaian, pelamin semuanya disediakan YPKT,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Terdahulu, majlis yang dirasmikan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan turut dihadiri Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman; Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa dan Pegawai Daerah Marang, Mat Azmi Arshad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!