Haaland mahu fokus bersama Dortmund
BINTANG muda Borussia Dortmund, Erling Haaland mahu memberikan fokus bersama kelabnya itu biarpun ketika ini spekulasi perpindahannya ke Real Madrid hangat diperkatakan.
Pemain berusia 19 tahun itu menegaskan dia mahu menyelesaikan ‘tugasnya' bersama gergasi Bundesliga itu dan memperbaiki persembahannya dari semasa ke semasa.
“Saya hanya memikirkan untuk melakukan tugas saya di sini. Saya fokus tentang itu dan bukannya perhatian yang diberikan terhadap saya.
“Saya hanya fikirkan untuk itu yang menjadi perkara yang paling saya suka lakukan,” katanya.
Pemain muda dari Norway itu kini menjadi buruan kelab-kelab terkemuka Eropah berikutan aksi cemerlang yang dipamerkannya di Bundesliga.
Sejak mula beraksi di Bundesliga Januari lalu, Haaland sudah meledak 12 jaringan dalam 11 perlawanan bersama Dortmund musim ini.
Haaland turut mengakui sudah tidak sabar untuk kembali beraksi apabila Dortmund dijadualkan berdepan Schalke 04 apabila saingan Bundesliga dijangka bermula Sabtu ini setelah ditangguhkan sejak Mac lalu berikutan pandemik Covid-19.
Katanya, biarpun perlawanan berkenaan dijangka diadakan tanpa kehadiran penonton, dia tetap bersemangat untuk beraksi.
“Saya sudah tidak sabar untuk beraksi dalam perlawanan derby ini. Saya pernah bermain dalam perlawanan derby lain sebelum ini, tetapi ia bukan seperti ini,” katanya.
Sementara itu bekas penolong jurulatih Real Madrid, Jose Morais berkata, Haaland boleh berjaya di Santiago Bernabeu dan dilihat sebagai pengganti yang tepat untuk Karim Benzema.
“Saya fikir (Haaland) pemain yang hebat, muda dan memiliki kualiti. Sentuhan penyudahnya juga sukar dipercayai.
“Apa yang dia lakukan di Dortmund telah berikan impak dan saya fikir ia terlalu awal untuk pemain berkualiti sepertinya menyertai Real Madrid kerana ada banyak saingan di sini (La Liga) dan hanya pemain terbaik yang beraksi di sini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!