Ahli perniagaan tak mengaku sebabkan kematian Koperal Safwan
KAJANG- [DIKEMASKINI] Ahli perniagaan dipercayai memandu dalam keadaan mabuk hingga merempuh anggota polis di sekatan jalan raya Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas), Kajang, pada 3 Mei lalu didakwa di dua mahkamah berasingan di sini, hari ini.
K. Kalaichelvan 44, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dengan tiga pertuduhan membabitkan Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 26 (1) akta sama kerana memandu di bawah pengaruh alkohol serta memandu tanpa lesen sah dan Seksyen 26(1) Akta Polis 1967 kerana tidak berhenti di sekatan jalan raya.
Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil oleh juru bahasa mahkamah di hadapan Hakim, Mohd Kafli Che Ali.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu jip, menggunakan kenderaan tersebut dengan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang anggota polis yang sedang menjalankan sekatan jalan raya iaitu Safwan Mohamad Ismail, 31, di Lebuhraya Lekas Kajang Hulu Langat, pada jam 2.10 pagi, 3 Mei lalu.
Bagi kesalahan ini, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM8,000 serta tidak lebih RM20,000 jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, lelaki tersebut didakwa memandu jip berkenaan dan tidak mematuhi apa-apa syarat munasabah yang diberi oleh seorang pegawai polis menghendaki orang atau kenderaan itu berhenti sebelum sampai di sekatan itu pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Kali ini dia didakwa di bawah Seksyen 16(2) Akta Polis 1967 (Akta 334) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 12 bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa sebagai pemandu jip telah memandu kenderaan tersebut dengan tidak memiliki lesen memandu yang membenarkan tertuduh memandu kenderaan itu di atas jalan pada masa, tarikh dan tempat sama.
Dengan itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987(Akta 338/87) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 26(2) akta sama yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM 300 dan tidak lebih daripada RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Saat menawarkan jaminan RM 30,000 terhadap tertuduh bagaimanapun peguam, Mohd Haijan Omar merayu jaminan rendah dengan memberitahu mahkamah bahawa tertuduh merupakan pemilik tunggal perniagaan dan penanggung tunggal keluarga iaitu isteri serta anak yang masih kecil.
Hakim, Mohd Kafli membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu hadir di balai polis berdekatan hingga kes selesai dan menetapkan sebutan kes pada 18 Jun depan untuk serahan dokumen.
Sementara itu dalam kamar Mahkamah Majistret di hadapan Majistret, Muhammad Noor Firdaus Rosli, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berhubung kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Dia didakwa telah didapati bergerak dari satu tempat ke suatu tempat lain di dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan seperti diwartakan dalam Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Perisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 [P. U(A) 87] dan bukan bukan bertujuan melakukan mana mana perkara diperuntukkan di bawah Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No. 4) 2020 [P. U(A) 133], pada jam 2 pagi di sekatan Lebuhraya Lekas di Plaza Tol Kajang Selatan Hulu Langat, tarikh sama.
Dia didakwa melalukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) yang boleh dihukum di bawah Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No. 4) 2020[P.U.(A) 133] yang mana tertuduh boleh dihukum denda tidak lebih RM 1,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin menawarkan jaminan RM10,000 bagaimanapun Majistret, Muhammad Noor Firdaus membenarkan tertuduh diikat RM1,000 dan menetapkan sebutan kes pada 10 Ogos depan untuk serahan dokumen.
ARTIKEL BERKAITAN Pemandu langgar Koperal Safwan direman empat hari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!