Petronas sumbang RM60,000 bantu 300 keluarga
JOHOR BAHRU - Yayasan Petronas dan Petronas Dagangan Berhad memberikan sumbangan barang keperluan asas dan Kad Hadiah Petronas Mesra bernilai RM60,000 kepada 300 keluarga yang layak di negeri ini.
Ketua Petronas Wilayah Selatan, Sazli Zakaria berkata, sumbangan tersebut disalurkan menerusi Program Sentuhan Kasih terutama dalam membantu keluarga memerlukan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, antara penerima dari Benut, Segamat, Kota Tinggi dan Johor Bahru itu merupakan golongan berpendapatan rendah.
"Mereka menerima barang keperluan makanan seperti beras, minyak masak, barang dalam tin, ketupat segera, telur, tepung, susu tepung, ikan bilis dan Kad Hadiah Petronas Mesra melalui wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyampaikan sumbangan ini.
"Semasa kita berjuang melawan wabak koronavirus (Covid-19), pada masa sama kita percaya dapat membantu seramai mungkin keluarga yang memerlukan dalam meringankan beban mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Program Sentuhan Kasih adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan Petronas yang diaktifkan setiap kali musim perayaan utama di negara ini.
Penyerahan bantuan tersebut dilakukan empat daerah iaitu Benut, Segamat, Kota Tinggi dan Johor Bahru baru-baru ini secara terus kepada penerima dan pihak JKM turun padang menyampaikannya kepada penerima di kawasan masing-masing.
Sementara itu, seorang penerima, Sarah Dali, 65, dari Gelang Patah, dekat sini mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada Petronas atas sumbangan tersebut yang amat bermakna dalam memenuhi keperluan keluarganya.
"Kami amat menghargai sumbangan pihak Petronas atas usahanya memberikan bantuan kepada keluarga yang memerlukan. Sumbangan ini sangat membantu terutama pada masa-masa sukar ini," katanya.
Sarah kini menjaga suaminya yang sedang sakit sambil membantu anak perempuannya menjual pisang goreng sebagai sumber pendapatan keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!