'Ni kes lama...no komen,' kata Mohd Shaid
JERAM - "Itu kes lama, tak perlu saya nak ulas lebih lanjut," demikian penjelasan Adun Jeram, Mohd Shaid Rosli berhubung tular 'pergaduhan' dalam ruangan komen di media sosial, baru-baru ini.
Menurutnya, sesiapapun boleh mewujudkan akaun palsu semata-mata untuk mencari salah dan menghentam wakil rakyat PH dalam media sosial.
"Contohnya seperti akaun Facebook, orang boleh letak muka sesiapa termasuk gambar saya... mereka boleh komen macam-macam.
"Tak perlu nak ulas isu ni sebab kes lama, yang penting saya hanya buat kerja sebagai wakil rakyat kawasan ini sebaik mungkin," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Terdahulu, tular dalam media sosial berhubung perbualan dua individu di Facebook yang tertera nama Shaid Rosli dengan seorang lagi individu yang berbaur provokasi dan mencetus ketegangan.
Nama pemilik akaun Facebook yang dikaburkan namanya memetik kata, akhirnya sudah menunjukkan dirinya yang sebenar... "Terima kasih waibi."
Bagaimanapun jawapan balas pemilik akaun Shaid Rosli seolah-olah mengenali individu terbabit yang bekerja sebagai penjual insurans.
"Setakat anjing-anjing yang kalah menyalak, aku tak heranlah (hairan). Orang boleh nilai aku makan gaji buta atau tak. Kadang-kadang aku diam bukan bermakna aku salah atau tak berani.
"Cuma nak tengok sejauh mana korang (kamu) berani dan menyalak. Faham! Orang macam ko (kau) jual insurans tak laku, bolehlah sibuk kutuk kondem orang," katanya dalam petikan ruangan komen itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!