Kedah benar makan di restoran bermula hari ini

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bersama barisan exco hadir pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darulaman, Alor Setar hari ini. - Foto Bernama
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bersama barisan exco hadir pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darulaman, Alor Setar hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Restoran serta kedai makan di Kedah dibenarkan menerima pelanggan untuk menikmati hidangan di premis berkuat kuasa hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, keputusan dibuat setelah melihat situasi di Kedah dalam keadaan memuaskan selain menerima permintaan daripada pemilik restoran tetapi mereka perlu mematuhi syarat serta Prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) berkaitan koronavirus (Covid-19) semalam dan dibentangkan dalam mesyuarat Exco hari ini," katanya, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

Menurutnya, waktu operasi restoran dan kedai makan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam bulan Ramadan dilanjutkan, bermula 3 petang hingga 10 malam bagi premis milik Muslim dan 8 pagi hingga 10 malam bagi restoran bukan Muslim.

Sebelum ini, tempoh operasi restoran dan kedai makan di Kedah dihadkan bermula 3 petang hingga 8 malam untuk premis Muslim, dan 8 pagi hingga 8 malam untuk restoran bukan Muslim dan urusniaga hanya dibenarkan secara bungkus, pandu lalu serta penghantaran.

Mukhriz turut menegaskan, kesemua 118 taska berdaftar di negeri ini pula, termasuk taska tempat kerja dan di rumah, taska komuniti serta taska institusi dibenarkan dibuka dengan syarat mematuhi SOP ditetapkan.

"Semua perniagaan yang dihadkan operasinya antara 8 pagi hingga 8 malam termasuk pasar raya dan kedai runcit juga dibenarkan beroperasi hingga 10 malam berkuat kuasa serta-merta.

"Stesen minyak pula dibenarkan dibuka dari jam 6 pagi hingga 12 malam berbanding 6 pagi hingga 10 malam sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!