Kem pelarian Rohingya terbakar

Kem Pelarian Kutupalong terbakar dan memusnahkan ratusan tempat tinggal etnik minoriti Rohingya. - Foto: AFP
Kem Pelarian Kutupalong terbakar dan memusnahkan ratusan tempat tinggal etnik minoriti Rohingya. - Foto: AFP
A
A
A

COX'S BAZAR - Sekurang-kurangnya 10 orang cedera dalam kejadian kebakaran di kem pelarian Rohingya dekat tenggara Bangladesh semalam.

Pegawai bomba, Emdadul Haq berkata, kira-kira 330 pondok termasuk rumah dan kedai yang kebanyakannya dibina menggunakan buluh dan tarpaulin di kem pelarian Kutupalong itu turut musnah dijilat api yang dipercayai berpunca daripada kedai silinder gas.

"Beberapa orang cedera. Kebakaran ini adalah yang paling besar pernah berlaku di Kutupalong. Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan di salah sebuah kem pelarian terbesar di dunia itu," katanya.

Menurut wakil pesuruhjaya pelarian Bangladesh, Shamsud Douza, mangsa cedera dibawa ke hospital tempatan untuk mendapatkan rawatan.

"Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) telah menggerakkan pasukan tindak balas kecemasan untuk membantu pelarian yang terjejas," jelasnya.

Difahamkan, lebih sejuta pelarian Rohingya tinggal di kem-kem dekat daerah Cox's Bazar, Bangladesh termasuk Kutupalong. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!