Pencalonan tiga Exco Perak diketahui lebih awal

Ahmad Saidi mengangkat sumpah jawatan sebagai exco kerajaan negeri di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, semalam.
Ahmad Saidi mengangkat sumpah jawatan sebagai exco kerajaan negeri di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, semalam.
A
A
A

IPOH - Pencalonan tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak yang baharu dilantik dibuat awal oleh UMNO dan bukan dicadangkan pada saat akhir seperti didakwa pembangkang.

Exco Kerajaan Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, pimpinan UMNO Perak sudah memaklumkan lebih awal bahawa beliau antara nama yang dihantar sebagai calon Exco kerajaan negeri.

Bagaimanapun menurutnya, pelantikan tersebut hanya diketahui pada Isnin kerana semua Exco yang akan dilantik diminta bersedia untuk mengangkat sumpah jawatan berkenaan.

"Saya fikir pembangkang sengaja membangkit isu ini untuk melaga-lagakan pemimpin dalam Perikatan Nasional kononnya nama tiga Exco diberikan pada saat akhir untuk elak usul undi tak percaya kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berlaku.

"Usul itu memang sengaja dibawa oleh mereka untuk mewujud situasi kononnya UMNO mengugut Ahmad Faizal untuk berikan jawatan Exco kepada UMNO tapi sebenarnya mereka yang bawa usul itu, bukan UMNO," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Ketua Pembangkang, Dr Abdul Aziz Bari yang memperlihatkan kononnya UMNO tidak mahu usul undi tidak percaya kepada Ahmad Faizal diteruskan setelah tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dilantik sebagai Exco kerajaan negeri.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Saidi menganggap lantikannya sebagai Exco kerajaan negeri memperlihatkan pengiktirafan oleh parti dan kerajaan terhadap anak muda.

Katanya, anak muda terus diberikan kepercayaan oleh kerajaan dan tidak dipinggirkan oleh parti apabila mereka dilantik sebagai sebahagian anggota kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya lihat, ini merupakan langkah yang baik dengan memberikan kepercayaan kepada anak muda untuk kami belajar tentang pentadbiran dan membuka mata anak muda di luar sana bahawa anak muda kini diberikan watak dan cabaran yang lebih besar memainkan peranan utama dalam pentadbiran negeri.

"Setakat ini saya belum diberikan apa-apa portfolio lagi namun tumpuan pertama saya adalah berkaitan ekonomi. Apa sahaja portfolio yang akan diterima nanti pasti akan ada kaitan dengan ekonomi tambahan kita sedang berhadapan dengan ancaman Covid-19 ini," jelas anak muda berusia 36 tahun itu.

Menyedari tugas semakin besar, Ahmad Saidi yang juga ADUN Changkat Jering berkata, beliau akan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin bukan sahaja di kawasan tetapi di seluruh Perak.

Ahmad Saidi merupakan salah seorang ADUN yang dilantik sebagai Exco Kerajaan Perak semalam bersama-sama ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed dan ADUN Lintang, Datuk Zolkafly Harun.

Pelantikan tiga Exco kerajaan negeri yang baharu itu melengkapkan jentera pentadbiran kerajaan Perak dengan 10 Exco.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!