Penjawat awam kerja dari rumah perlu jaga kerahsiaan

Sulaiman Md Ali
Sulaiman Md Ali
A
A
A

MELAKA TENGAH - Penjawat awam di Melaka terutama mereka yang dibenar bekerja di rumah perlu memastikan kerahsiaan dokumen atau keputusan tertentu terjamin dan terpelihara mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali mengingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak terlalu ghairah berkongsi sebarang maklumat sama ada dokumen atau keputusan yang masih dikategorikan sebagai rahsia dan sulit di media sosial.

"Penjawat awam diingatkan supaya menggunakan media sosial dengan sebaik-baiknya bagi menyebar luas dasar kerajaan negeri," katanya pada Amanat Penjawat Awam Bulan Mei 2020 yang disiarkan di laman Facebooknya hari ini.

Sulaiman berkata, penjawat awam juga perlu memelihara integriti sebagai kakitangan kerajaan dengan terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berkuat kuasa dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

"Penjawat awam yang keluar rumah tanpa sebab dalam tempoh PKPB berisiko dikenakan tindakan tatatertib mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

"Walaupun telah banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat termasuk pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, namun undang-undang berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan ini masih lagi berkuat kuasa," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!