Kesedaran menghayati al-Quran terus meningkat
TAIPING - Kesedaran orang ramai untuk menghayati dan memahami al-Quran terus meningkat di sebalik pelbagai kekangan terutama dari segi pergerakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Penggerak Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah berkata, mengambil contoh penganjuran World #QuranHour pada tahun ini, reaksi yang diterima daripada orang ramai sangat menggalakkan walaupun program tersebut tidak diadakan dalam skala besar seperti tahun-tahun sebelumnya.
Menurutnya, hikmah di sebalik pelaksanaan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menjadikan orang ramai semakin dekat dengan al-Quran dengan jumlah khalayak yang semakin ramai.
"Jika tahun lalu semua ahli-ahli Rumah Ngaji ini ada yang datang bersendirian atau dengan suami berkumpul di satu tempat menjayakan World #QuranHour ini, namun tahun ini mereka berada di rumah masing-masing dan mereka boleh mengajak semua ahli keluarga bersama-sama menghayati al-Quran.
"Melihat kepada keadaan itu, kita percaya jumlah penyertaan World #QuranHour pada tahun ini lebih ramai dari tahun-tahun sebelumnya," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program World #QuranHour di Hospital Taiping, di sini, hari ini.
Hadir sama memberikan sokongan dalam program tersebut, Pengarah Hospital Taiping, Dr Narimah Yusof; Timbalan Pengarah Pengurusan Hospital Taiping, Nurul Faiz Khairol Azmi dan Penggerak Rumah Ngaji Taiping, Hanita Hashim.
Noor Mazlina berkata, selain di Hospital Taiping, beberapa lokasi lain turut mengadakan program sama antaranya Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Jabatan Pendidikan Perak.
Katanya, selain itu, beberapa jabatan kerajaan turut mengadakan program tersebut dalam skala yang kecil termasuklah di Perpustakaan Negeri Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!