Bincang akses, kualiti internet, caj Telco

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menerima sumbangan pelitup muka daripada Huawei Technologiest (M) Sdn Bhd yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Yuan (kiri) di Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini. - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menerima sumbangan pelitup muka daripada Huawei Technologiest (M) Sdn Bhd yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Yuan (kiri) di Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pasukan petugas khas mengenai Digital Malaysia, yang dipengerusikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), akan mengadakan perbincangan khusus mengenai akses dan kualiti internet serta caj yang dikenakan syarikat telekomunikasi susulan peningkatan penggunaan internet semasa wabak koronavirus (Covid-19).

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Covid-19 mengajar banyak perkara antaranya terdapat kawasan dengan keterhubungan internet masih perlahan atau kualitinya yang masih belum berada pada tahap terbaik.

"Sebelum ini kita jangka, dan sekarang ini kita pasti memang ada kelemahan tertentu dan kita akan perbaiki," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Saifuddin berkata KKMM juga akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan mengenai usaha mengembangkan TV Pendidikan dan aktiviti pembelajaran dalam talian.

"Pembelajaran dari rumah menjadi semakin mustahak, maka kita juga nampak di mana kelemahan yang ada," katanya.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri dan Ketua Pegawai Pemasaran Lazada Malaysia, Boo Poh Suan yang turut mewakili syarikat e-dagang China, Alibaba Group mengenai usaha memperluaskan kerjasama dalam mengembangkan ekonomi digital negara.

Saifuddin berkata, kerjasama itu bukan sahaja harus melihat kepada pasaran tempatan, tetapi juga memperluaskan aktiviti e-dagang ke rantau Asia Tenggara yang menjanjikan pasaran lebih luas.

"Kalau kita hanya melihat negara kita, ia hanya melibatkan penduduk kira-kira 32 juta, tetapi jika kita lihat rantau ini, ada 650 juta penduduk dan itu adalah satu pasaran yang sangat besar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, MDEC dalam kenyataannya berkata Alibaba Group telah bersetuju Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP) milik syarikat itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan berfungsi sebagai satu daripada tiga hab global utamanya selain di Belgium dan Ethiopia untuk urusan penghantaran barangan perubatan bagi memerangi Covid-19.

"Pemilihan itu sekali gus akan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab perdagangan utama di rantau ini membabitkan operasi logistik ketika masyarakat global meneruskan usaha melawan virus berkenaan," kata MDEC.-Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!