Fenomena biasa menjelang raya!
SETIAP kali tiba musim perayaan, akan timbul isu harga ayam naik berkali ganda. Lebih memburukkan keadaan apabila kenaikan harga berlaku ketika rakyat terhimpit dengan keadaan ekonomi masa kini ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Tinjauan Sinar Harian di pasar-pasar di beberapa daerah di seluruh negara menunjukkan peningkatan ketara harga bahan makanan itu sehingga menimbulkan rungutan pengguna.
Di JOHOR BAHRU, tinjauan harga ayam mentah di Pasar Awam Larkin di sini menunjukkan ia naik mendadak menjelang Aidilfitri.
Harga ayam naik daripada RM6.70 satu kilogram ketika awal Ramadan dan hari ini (semalam) dijual pada RM8.40 sekilogram.
Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Melayu Pasar Awam Larkin, Abdullah Ideris berkata, tidak hanya tahun ini, pada tahun-tahun lalu juga harga ayam akan naik apabila tiba Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
“Ini biasalah, lebih-lebih lagi bila dekat raya. Terdapat permintaan tinggi ayam segar, itu yang buat harga naik,” katanya.
Abdullah berkata, harga ayam terpaksa dinaikkan berikutan bekalan ayam segar sukar didapati.
Jelasnya, kebiasaannya pembekal akan edarkan bekalan ayam segar dalam kuantiti sedikit dan mereka dipercayai menyimpan stok untuk bekalan menjelang minggu akhir Ramadan.
Sementara itu, di MELAKA TENGAH, para peniaga ayam di Pasar Transit Bachang di sini mengakui berlaku kenaikan harga ayam sejak minggu lalu.
Mereka memberitahu, kadar kenaikan harga ayam sehingga melonjak RM2.50 sekilogram itu berlaku beberapa kali dalam tempoh minggu lalu.
Peniaga, Ghazale Abu Bakar berkata, pada awal Ramadan lalu harga ayam sekitar RM6 hingga RM6.50 sekilogram, namun kini meningkat ke RM8.80 sekilogram.
Dia mendakwa, kenaikan yang berlaku disebabkan penternak ayam kebanyakan ‘gulung tikar’ kerana permintaan kurang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan kebanyakan syarikat besar pembekal ayam bertindak menaikkan harga ayam belum proses.
Menurutnya, pelanggan merungut dengan kenaikan harga ayam yang berterusan namun sebagai ‘orang tengah’, dia tidak mampu berbuat apa-apa selain memberikan potongan harga dipercayai menyimpan stok untuk bekalan menjelang minggu akhir Ramadan.
Bagi peniaga ayam, Hamzah Othman berkata, sebagai penjual dia berdepan rungutan pelanggan apabila harga ayam naik lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang terjejas akibat Covid-19.
Menurutnya, jika ditanya dia akan menjelaskan kepada pelanggan mengenai kenaikan harga ayam dalam beberapa hari ini yang disebabkan beberapa faktor.
“Saya harap kerajaan dapat umumkan harga kawalan ayam segar menjelang Syawal nanti,” katanya.
Di KUANTAN, tinjauan Sinar Harian di pasar di daerah itu mendapati harga ayam dijual sekitar RM9 hingga RM9.50 sekilogram berbanding sebelumnya RM7.50 sekilogram.
Rata-rata peniaga juga mendakwa kenaikan harga ayam dijangka meningkat lagi iaitu sebanyak 50 sen daripada harga sedia ada.
Peniaga ayam, Ahmad Sulaiman, 56, berkata, sebagai peniaga mereka tiada pilihan susulan penternak dan pembekal ayam menaikkan harga barang basah itu.
“Harga ayam sudah empat lima kali naik sepanjang 20 hari Ramadan.Ini berlaku sebab kenaikan harga daripada pembekal dan sebagai peniaga kita akur.
“Harga ayam daripada pembekal dijual sekitar RM8 hingga RM8.50 sekilogram, harga itu sudah terlalu mahal namun kita jual pada harga RM9 sahaja,” katanya.
Seorang lagi peniaga ayam, Ibrahim Domok, 37, berkata, setiap kali Ramadan harga ayam akan naik berikutan permintaan yang tinggi.
“Namun, KPDNHEP sudah menetapkan harga, jadi kami tidak boleh sesuka hati menaikkan harga. Sehingga ke hari ini KPDNHEP belum memberikan sebarang harga yang perlu dipatuhi peniaga,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!