Sultan Perak benar solat Jumaat, Aidilfitri di masjid dan surau

 Kebenaran itu tertakluk kepada beberapa syarat antaranya bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang, termasuk imam dan khatib.
Kebenaran itu tertakluk kepada beberapa syarat antaranya bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang, termasuk imam dan khatib.
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memberi perkenan untuk membenarkan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri diadakan di masjid serta surau seluruh negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, kebenaran solat Jumaat adalah bermula esok sementara solat sunat Aidilfitri dibolehkan diadakan pada pagi 1 Syawal nanti.

Bagaimanapun menurutnya, kebenaran itu tertakluk kepada syarat-syarat tertentu iaitu bilangan jemaah termasuk imam dan khatib tidak melebihi 12 orang.

"Pengerusi Jawatankuasa Kariah hendaklah mengenal pasti dan menetapkan bahawa jemaah terbatas dalam kalangan ahli kariah dan pegawai masjid sahaja, adalah tidak digalakkan warga yang berusia lebih daripada 60 tahun untuk hadir berjemaah.

"Setiap jemaah juga hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setiap jemaah dikehendaki mengambil wuduk sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah masing-masing.

Katanya, mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selesema tidak dibenarkan hadir.

"Begitu juga mereka yang mempunyai sejarah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah dan sebagainya tidak dibenarkan hadir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shahrul Azam berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak turut menetapkan kebenaran menggunakan pembesar suara luar semasa bacaan teks khutbah dan takbir untuk manfaat ahli-ahli kariah di sekitar masjid dan surau.

Jelasnya, tempoh masa bermula azan, khutbah hingga selesai solat Jumaat, begitu juga tempoh mula bertakbir hingga selesai khutbah solat Aidilfitri di dalam masjid dan surau dihadkan tidak melebihi 20 minit.

"Teks khutbah solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri hendaklah ringkas dan padat dengan masa penyampaian tidak melebihi 10 minit disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

"Penyusunan saf dan kedudukan dalam masjid atau surau diri Jumaat hendaklah mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan para jemaah hendaklah bersurai tanpa perlu mengadakan sebarang jamuan makan minum terutama selepas selesai urusan solat sunat Aidilfitri," katanya.

Beliau menegaskan, masjid dan surau diri Jumaat masih tidak dibuka kepada orang awam, sebaliknya kebenaran itu hanya diberikan kepada ahli Jawatankuasa Kariah dan pegawai masjid dan surau.

Menurutnya, mana-mana masjid dan surau diri Jumaat yang tidak berupaya atau gagal memenuhi kesemua syarat dan panduan ditetapkan tidak dibenarkan untuk melaksanakan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri berkenaan.

"Arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga arahan baharu dikeluarkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!