Tiada isu jika agihan peruntukan pendidikan adil: Nasrudin
KUANTAN - Pas menyifatkan peruntukan kepada Kolej Universiti New Era tidak akan menjadi isu kontroversi jika setiap peruntukan untuk pendidikan di negara ini dikekalkan.
Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, dalam keadaan majoriti rakyat berdepan kesukaran, timbul persoalan mengapa Kementerian Kewangan dengan mudah memberi peruntukan khas kepada Kolej Universiti New Era sedangkan MyBrain ditangguh, peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR) dikekalkan dan pembayaran ansuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak sesukar hari ini.
"Persoalannya adakah ia kerana kecenderungan politik atau ada agenda tertentu seperti usaha mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
"Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan tidak wajar bermain dengan isu perkauman termasuk dakwaan ekstremisme kerana isu sebenarnya, menteri tidak berlaku adil dalam aspek pengagihan peruntukan kepada institusi-institusi pendidikan," katanya.
Beliau turut melontar pertanyaan mengenai peruntukan untuk sekolah-sekolah daif di luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak.
"Adakah mereka dapat peruntukan lebih untuk membaiki infrastruktur dan meningkatkan kualiti pendidikan? " soalnya.
Nasrudin berkata, Menteri Kewangan seharusnya bersikap jujur kepada rakyat.
"Jangan membuat keputusan yang boleh mencetuskan isu perkauman. Fokus kepada prioriti pembangunan dan inklusiviti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!