Laluan utama Ipoh ditutup sempena Thaipusam
IPOH - Beberapa laluan utama sekitar bandar raya ini ditutup secara berperingkat bermula Ahad ini sempena sambutan Thaipusam.
Dalam kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh memaklumkan penutupan jalan dilakukan selama empat hari sehingga Rabu depan bagi melancarkan perarakan Chariot dari Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Pari ke Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh.
Menurutnya, laluan yang terlibat adalah Jalan Sungai Pari, Jalan Tun Perak, Jalan Sultan Yusoff, Jalan Lahat, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Laxamana dan Jalan Raja Musa Aziz.
“Peringkat pertama hari Ahad, penutupan jalan di laluan terlibat bermula pada jam 6 pagi hingga 1200 tengah hari.
“Manakala, peringkat kedua hari yang sama melibatkan jalan kawasan Gunung Cheroh yang bermula 2.30 petang hingga 2 pagi hari Selasa,” katanya.
Katanya, peringkat ketiga perarakan chariot dari Gunung Cheroh ke Sungai Pari pula bermula dari jam 5 petang (Selasa) hingga 10.30 pagi hari (Rabu).
"Laluan yang terlibat pula Jalan Raja Musa Aziz, Jalan Dato Ahmad Said, Jalan Raja Ekram, Jalan Dato Onn Jaafar, Jalan SP Seenivasagam, Jalan Tun Sambanthan dan Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab.
"Selain itu, Jalan Datuk Maharajalela, Jalan Dato Sagor, Jalan Sultan Iskandar Shah, Jalan Bijih Timah, Jalan Market, Bulatan Bahagia, Jalan Tun Perak dan Bulatan Kacang Putih, Sungai Pari, Buntong," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!