Dua ipar kantoi seludup ketum bernilai RM50,000

Kira-kira 200kg daun ketum dianggarkan bernilai RM50,000 yang diletakkan dalam beg berjaya dirampas pihak berkuasa.
Kira-kira 200kg daun ketum dianggarkan bernilai RM50,000 yang diletakkan dalam beg berjaya dirampas pihak berkuasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang petani bersama iparnya yang juga seorang penganggur berputih mata kerana tidak sempat menikmati hasil jualan daun ketum apabila ditahan di tepi jalan berdekatan Taman Nilam Sari, Langgar, di sini dalam pemeriksaan pada jam 12.10 tengah malam oleh pasukan pemantauan Ops koronavirus (Covid-19), semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pihaknya menemui sebuah kenderaan yang membawa lapan beg besar dilihat mencurigakan di jalan kampung ketika sedang melakukan pemantauan di lokasi itu.

"Kita menemukan kira-kira 200 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai RM50,000 yang diletakkan dalam beg tersebut.

"Melalui siasatan, kita dapati kedua-dua suspek mendapat bekalan daun ketum dari Kedah untuk pasaran ke Kuala Lumpur dan Nilai, Negeri Sembilan,"katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar (IPD) Kota Setar di sini hari ini.

Mohd Rozi menambah, pihaknya percaya daun ketum dirampas dalam pemeriksaan berkenaan boleh dijual kepada kira-kira 10,000 pengguna daun ketum berikutan permintaannya yang tinggi ketika ini.

Menurut beliau, pihaknya mengesyaki kedua-dua suspek masing-masing berusia 21 dan 18 tahun itu sudah lama melakukan aktiviti menjual daun ketum sebelum kantoi dengan pasukan polis apabila mengambil kesempatan melakukannya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan mereka berdua ditahan reman hingga 16 Mei bagi siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Siasatan lanjut juga dilakukan untuk mencari saki baki individu yang memiliki hubungan dan kaitan dalam kegiatan menjual daun ketum untuk pasaran luar Kedah. Sehingga kini, 49 tangkapan atas pelbagai kesalahan jenayah melibatkan dadah dan ketum dengan nilai rampasan keseluruhan lebih kurang RM384,000 dilakukan dalam tempoh 58 hari perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac hingga semalam.

"Suspek masing-masing bekerja sebagai petani dan penganggur itu juga disiasat kerana disyaki melakukan pelanggaran PKPB,"kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Mohd Rozi berkata, seramai 22 pasukan petugas khas ditubuhkan untuk membuat pemantauan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) khususnya melibatkan tempat awam, kawasan pembinaan dan sektor ekonomi ketika tempoh PKPB di daerah berkenaan selain akan melakukan pemantauan melibatkan kesalahan jenayah serta aktiviti dadah di kawasan Kota Setar.

Beliau menasihati orang awam supaya mematuhi SOP dan menghindari dari membawa kanak-kanak serta warga emas di tempat awam untuk mengelak jangkitan koronavirus (Covid-19).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!