23 ADUN dijangka menghadap Sultan Kedah esok
ALOR SETAR - Seramai 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Perikatan Nasional dijangka menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, di sini, pagi esok.
Terdahulu, Sultan Sallehuddin serta Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas di sini kira-kira jam 11.45 pagi tadi.
Ketibaan baginda disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Turut kelihatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dan Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang.
ARTIKEL BERKAITAN: Hilang kepercayaan terhadap Mukhriz, PN ambil alih Kedah
Kelmarin, Perikatan Nasional Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 ADUN termasuk dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan 23 ADUN terbabit adalah 15 daripada Pas, empat Bersatu dan masing-masing dua daripada UMNO dan bebas yang juga bekas ADUN Parti Keadilan Rakyat PKR.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!