Kantoi minum arak, gadis 'prank' dijangkiti Covid-19
SULAWESI - Helah seorang gadis yang konon dijangkiti koronavirus (Covid-19) kerana mahu elak ditahan minum arak di sebuah hotel tidak menjadi apabila ditahan polis di Bone, Sulawesi Selatan Indonesia.
Tribun News melaporkan, kejadian berlaku pada jam 2 pagi Jumaat lalu selepas anggota polis menerima aduan dan menahan empat individu minum arak di sebuah hotel di Jalan Salak, kampung Jeppe.
Ketua Siasatan Jenayah (Kasat Reskrim) Bone AKP Mohammad Pahrun berkata, gadis berusia 20 tahun itu ditahan di bawah unit siasatan jenayah Balai Polis Bone semalam.
"Tiga rakannya berusia antara19 hingga 22 tahun juga ditahan bagi membantu siasatan dan dibebaskan sebelum diserahkan kepada keluarganya," katanya.
Katanya, ketika tangkapan, gadis berkenaan dikatakan menggigil dan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke hospital.
"Ketika tiba di hospital, rakannya memberitahu gadis itu dijangkiti Covid-19 dan dilihat sesak nafas.
"Suspek mengaku memiliki kontak dengan datuknya di Papua yang positif Covid-19.
"Pihak hospital menyarankan suspek dibawa ke Rumah Sakit Umum Daerah Tenriawaru (RSUD) kerana mempunyai kemudahan rawatan virus Covid-19," katanya.
Menurut Pahrun, di Hospital Daerah Tenriawaru, gadis berkenaan dikatakan pura-pura pengsan tetapi selepas diperiksa, suhu badannya normal sekitar 36.9 darjah celsius.
"Ketika pemeriksaan pegawai perubatan tidak menemui simptom Covid-19," kata Pahrun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!