Sukarelawan cegah Jenayah dituduh mencuri
KULIM- Seorang ahli sukarelawan rondaan keselamatan bersama seorang rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan menceroboh sebuah rumah dengan niat untuk mencuri, bulan lalu.
Aaron Lim Tzehang, 35, bersama Teoh Han Yew, 33, didakwa menceroboh sebuah rumah di Jalan Raya Kulim dengan niat untuk mencuri pada jam lebih kurang 7.40 petang, 29 April lalu.
Pertuduhan di bawah Seksyen 448/511 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Lim Tzehang juga didakwa dengan pertuduhan menyimpan harta curi pada 7 dan 9 Mei lalu.
Kali ini pertuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Galvin Loo Wei Ming di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kulim, Balkhis Abdul Halim.
Mahkamah membenarkan Lim Tzehang yang merupakan ahli pertubuhan rondaan cegah jenayah diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin manakala rakannya dibenarkan diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin beserta syarat mereka diminta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Sebutan kes ditetapkan pada 23 Julai depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!