'Bila tengok orang susah saya terasa seperti keluarga saya'
TUMPAT - Kehidupan daif 11 beranak di Tumpat, Kelantan meraih perhatian pendakwah bebas popular, Ustaz Ebit Lew yang sedih melihat keadaan rumah usang dihuni mereka.
Ibarat sinar baharu sempena Ramadan, Ustaz Ebit Lew memberitahu keluarga itu menumpang teduh di rumah di atas tanah milik orang lain sejak lima tahun lalu dan berhasrat mencari rumah sementara.
Ebit Lew yang memuat naik beberapa gambar di media sosialnya turut berkongsi cerita keluarga itu.
"Ya ALLAH sayunya hati ini, sebuah keluarga memiliki anak 9 orang. Paling besar 18 tahun, sudah lima tahun duduk di sini.
"Tiada bilik, mereka menumpang sambil menjaga kubur. Suami isteri kerja cari besi buruk dan jaga kubur. Anak sulung 18 tahun sebelum ni kerja kantin sekolah," tulisnya di Facebook.
Beliau yang terkenal dengan sikap pemurah membantu golongan memerlukan berkata, mereka yang memerlukan bantuan seperti keluarganya sendiri.
"Tak tahulah bila tengok orang susah saya terasa seperti keluarga saya. Rumah ini, peti ais, mesin basuh dan tiada apa pun.
"Rasa macam semua tiada. Ya ALLAH tuhanku. Doakan, tengah cari rumah dan nak cari barang asas sikit," katanya.
Dalam hantaran sama, beliau yang sering berdepan dengan pelbagai kecaman memberitahu, keluarga itu sebelum ini menyewa sebuah rumah pada harga RM200 sebulan.
Bagaimanapun, atas faktor kesihatan suami yang diserang sakit jantung dan kehidupan mereka sekadar kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang mencari rezeki, keluarga ini tidak mampu membayar wang sewa tersebut.
Keluarga berkenaan yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 turut menerima peruntukan membaik pulih rumah tetapi bantuan tidak dapat disalurkan kerana menetap di atas tanah milik orang lain.
Ebit Lew juga bersyukur kerana banyak pihak membantu keluarga itu selain mendapat sokongan
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan beberapa pemimpin tempatan kerana turut hadir ketika bantuan disalurkan.
"Mereka ucap tahniah dan terima kasih membantu. Mereka ada menghantar bekalan makanan dan ada peruntukan nak baiki rumah. Cuma tanah orang jadi tak dapat nak baiki. Mereka dapat bantuan JKM RM200 sebulan. Terima kasih semua," katanya.
Beliau juga berharap pencarian rumah sewa untuk keluarga itu dipermudahkan dan meminta orang ramai mendoakan semuanya berjalan lancar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!