Bella, Aliff bakal timang bayi perempuan
PENYANYI dan pelakon, Aliff Aziz dan isteri, Bella Astillah berkongsi bakal menimang cahaya mata perempuan yang dijangka lahir pada Julai ini.
Keterujaan mengenai jantina bayi itu diumumkan menerusi sesi siaran langsung di Instagram Aliff dan Bella semalam.
Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 26, difahamkan berada di Kuala Lumpur manakala Aliff berada di Singapura susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, dia sedia maklum tentang jantina bayinya namun merahsiakan terlebih dahulu dari Aliff sehinggalah semalam, jantina bayi itu diumumkan.
Sementara itu, Aliff yang kini berada di Singapura berkata, dia memang mengimpikan anak perempuan.
"Alhamdulillah, betul anak perempuan. Terima kasih pada semua yang mendoakan. Terima kasih Bella kerana kuat melalui masa-masa sukar ini dan juga Ayden. Insya-ALLAH, nanti kita berjumpa. Tak sabar nak jumpa semua.
"Terima kasih kerana mendoakan yang baik-baik untuk saya sekeluarga," katanya.
Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia tiga tahun.
Bella mengesahkan sudah merujuk semula dengan Aliff pada Julai tahun lalu selepas bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 16 Mei tahun yang sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!