Fasa 1 Skim Perumahan Perakku Tualang Sekah siap tahun ini
IPOH - Peserta Skim Perumahan Perakku Tualang Sekah menerima khabar gembira apabila 54 unit rumah mampu milik berkenaan dijangka siap tahun ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Mohamad Sabri Ahmad berkata, hampir 50 peratus daripada kerja-kerja pembinaan telah siap setakat ini bagi fasa pertama.
Menurut Mohamad Sabri, bagi fasa kedua pula, LPHP merancang untuk membina lot-lot perniagaan di kawasan berkenaan.
“Sebahagian kos infra dan kos tanah di subsidi oleh kerajaan. Ini bermakna harga bagi rumah dengan keluasan 860 kaki persegi adalah harga yang telah di subsidi.
“Dijangka pada akhir tahun ini rumah-rumah ini akan siap, tapi rasanya tak sampai pun akhir tahun dan mungkin dalam bulan Julai atau bulan Ogos boleh siap, katanya.
LPHP juga sentiasa memantau pihak pemaju yang dilantik agar menyegerakan projek ini.
"Kami berterima kasih kerana mendapat kerjasama baik daripada Majlis Daerah Kampar (MDK), pihak pentadbir tanah, semua agensi teknikal dan sebagainya untuk menjayakan pembinaan rumah-rumah ini,” katanya.
Mohamad Sabri berkata demikian pada sidang media sempena program Cabutan Undi Lot untuk skim perumahan berkenaan di Pusat Khidmat Adun Tualang Sekah, hari ini.
Hadir sama, Adun Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi serta Pengarah Urusan Mimbar Nusantara (Pembangunan dan Pengurusan Hartanah), Nazrin Cheong Abdullah.
Pada program berkenaan seramai 52 peserta skim perumahan berkenaan hadir untuk mencabut undi bagi memiliki lot-lot rumah berkenaan yang bernilai RM70,000 seunit manakala lot tepi dan 'end lot' dijual pada harga berbeza mengikut saiz tanah.
Sementara Nolee Ashilin berkata, Kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 50,000 unit rumah untuk disiapkan di bawah program Rumah Perakku di seluruh negeri.
Katanya, program berkenaan diharap dapat membantu rakyat di negeri ini untuk memiliki rumah sendiri dan tidak lagi tinggal menyewa.
“Kita berterima kasih kepada pihak pemaju kerana telah memajukan projek ini kita boleh jalankan cabutan undi untuk peserta miliki rumah hujung tahun ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!