Covid-19 tidak akan hilang
GENEVA - Pandemik koronavirus (Covid-19) tidak akan hilang dan populasi dunia perlu belajar untuk menjalani kehidupan normal baharu dengan wabak itu seperti virus HIV.
Kenyataan itu dikeluarkan Pengarah Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Michael Ryan selepas kes kematian global kini mencecah hampir 300,000 orang.
“Covid-19 mungkin menjadi satu lagi virus endemik dalam komuniti. Ia tidak akan pernah hilang atau dapat dihapuskan seperti HIV walaupun kita berjaya mengatasi penularannya,” katanya di Geneva semalam.
Dr Ryan berkata, beliau juga tidak percaya jika ada pihak yang boleh meramalkan bila wabak itu akan berakhir.
Terdahulu, Ketua WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan masih terdapat kemungkinan untuk mengawal virus tersebut.
“Usaha untuk membendungnya terletak pada tangan masing-masing. Semua pihak perlu memainkan peranan untuk menghentikan pandemik ini,” katanya lagi sambil menambah langkah mengawal virus itu memerlukan usaha besar-besaran walaupun vaksin berjaya dihasilkan.
Dalam perkembangan lain, pemimpin dunia menegaskan vaksin dan rawatan Covid-19 perlu diberikan secara percuma kepada setiap individu.
Presiden Afrika, Cyril Ramaphosa dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan antara lebih 140 pemimpin penandatangan dokumen itu yang menyatakan sebarang vaksin tidak wajar dipatenkan malah ia perlu dikongsi antara negara.
Sebelum ini, pakar kesihatan telah memberi amaran tentang impak jika virus itu menular di negara membangun di mana sistem perubatan adalah sangat lemah.
Ketika ini, PBB turut memberi amaran pandemik itu telah mencetuskan masalah kesihatan mental yang meluas terutamanya di negara yang kekurangan pelaburan untuk mengatasi isu tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!