Terima keputusan solat Aidilfitri hanya 12 orang
KUALA LUMPUR - Keputusan beberapa negeri yang membenarkan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri diadakan di masjid tetapi dengan syarat ketat diterima oleh Majlis Dakwah Negara (MDN).
Pengerusi MDN, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid berkata, walaupun negeri-negeri ini hanya membenarkan 12 orang, namun perkara paling penting adalah solat di masjid dapat diadakan kerana ia syiar Islam.
Menurutnya, MDN turut kagum kerana pelbagai pihak bersetuju dengan syarat ini kerana sebelum ini isu-isu kecil melibatkan agama akan menjadi panas.
"Sebelum ini MDN mencadangkan paling kurang 50 orang jemaah. Berdasarkan mazhab Shafie dan popular di kalangan masyarakat kita adalah sembahyang Jumaat mesti ada 40 orang jemaah. Nampaknya masyarakat kita menerima syarat 12 orang ini," katanya kepada Sinar Harian.
Beberapa negeri seperti Selangor, Perak, Negeri Sembilan, dan Johor mengeluarkan kenyataan membenarkan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri diadakan tetapi dengan syarat hanya 12 orang yang terdiri dari Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid.
Larangan perhimpunan di rumah ibadah dilaksanakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu bagi memutuskan jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!