Jepun tarik balik darurat di 39 wilayah
TOKYO - Kerajaan Jepun pada Khamis memutuskan untuk menarik balik darurat di 39 dari 47 wilayah menjelang akhir bulan ini, lapor agensi berita Kyodo.
Kawasan bandar seperti Tokyo dan Osaka, kekal di bawah darurat untuk memastikan kes baharu dilaporkan berkurangan.
Menteri Pembangunan Ekonomi, Yasutoshi Nishimura berkata, jumlah kes yang dilaporkan di 39 wilayah itu menunjukkan penurunan.
"Kami percaya menarik balik darurat di wilayah berkenaan adalah satu keputusan yang wajar," kata Nishimura.
ARTIKEL BERKAITAN: Jepun isytihar darurat di seluruh negara
Sebanyak 39 wilayah itu termasuk Ibaraki, Ishikawa, Gifu, Aichi dan Fukuoka yang diklasifikasikan 'sebagai berhati-hati' kerana kes Covid-19 yang tinggi.
Wilayah yang masih berada di bawah perintah darurat Hokkaido, Tokyo meliputi Chiba, Kanagawa dan Saitama serta Kyoto, Osaka dan Hyogo.
Pada lewat Khamis, Perdana Menteri Shinzo Abe akan membuat keputusan muktamad dan menjelaskan kepada rakyat mengenai kriteria yang membolehkan darurat ditarik balik.
Abe pada mulanya mengisytiharkan darurat selama sebulan hingga 6 Mei untuk tujuh bandar sebelum memperluaskan ke seluruh negara pada 16 April dan melanjutkannya hingga 31 Mei. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!