EPL dapat lampu hijau sambung liga
LIGA Perdana Inggeris (EPL) mendapat lampu hijau daripada kerajaan negara itu untuk menyambung semula saingan liga selepas dihentikan sejak Mac lalu akibat wabak koronavirus (Covid-19).
Setiausaha Kementerian Kebudayaan Britain, Oliver Dowden berkata, pihak Liga Perdana kini bebas untuk merangka semula pelan bagi memastikan saingan liga boleh bersambung bulan depan.
"Kerajaan telah membuka pintu untuk saingan bola sepak kompetitif disambung semula Jun ini.
"Ini termasuk memperluas akses kepada peminat untuk menonton siaran secara langsung dan memastikan kewangan dari penyambungan semula permainan memberikan manfaat kepada industri bola sepak.
"Sekarang bergantung kepada pihak pentadbir liga untuk menyetujui dan menyelesaikan perincian rancangan mereka," katanya.
Namun, Dowden turut mengakui keputusan untuk menyambung semula saingan liga itu mendapat tentangan daripada beberapa kelab yang tidak bersetuju ia dilangsungkan di stadium tertutup dan berkecuali.
"Mengapa kita tidak dapat melangsungkannya di negara kita dan menyelesaikan musim seperti yang dimulakan
"Dari sudut pandangan kami, kami perlu mengetahui lebih banyak mengenai mengapa tempat-tempat berkecuali ini peru menjadi pilihan utama. Adakah ia lebih selamat berbanding di stadium sendiri?," katanya.
Dalam masa sama, beliau turut meminta badan pentadbir liga supaya mengutamakan keselamatan dan kesihatan pemain dalam merancang semula penyambungan liga.
"Ada banyak pihak yang mempersoalkan keputusan ini terutama mengenai keselamatan pemain, namun kami menegaskan bahawa bola sepak hanya boleh kembali sekiranya langkah pencegahan diambil sewajarnya.
"Kerajaan dan pihak perubatan akan sentiasa menghulurkan bimbingan dan sokongan untuk melihat liga bersambung semula," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!