Sorok 4,000 pil kuda dalam kandang lembu
TANAH MERAH - Polis merampas dadah bernilai RM68,700 termasuk 4,000 biji pil kuda yang disorok di sebuah kandang lembu dalam dua serbuan berasingan di sini semalam.
Ketua Polis Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Mat Yusof berkata, dalam serbuan berkenaan dua suspek masing-masing berusia 33 dan 42 tahun turut ditahan.
Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di tepi jalan berhampiran Kampung Padang Siam kira-kira jam 4.30 petang berdasarkan maklumat yang diberikan orang awam.
"Seorang lelaki berusia 33 tahun yang sedang menunggang motosikal miliknya ditahan berdekatan kampung tersebut.
"Kami menemui 50 gram syabu dipercayai untuk diedarkan di beberapa kawasan di daerah ini dan ujian saringan awal mendapati lelaki itu positif dadah," katanya.
Katanya, serbuan kedua dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Tanah Merah di sebuah kandang lembu di Kampung Bechah Pleting pada jam 7 petang semalam.
"Pihak kami menemui 4,000 biji pil kuda yang disembunyikan di kandang lembu tersebut dipercayai milik suspek berusia 42 tahun.
"Siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod lampau dan bekalan dadah tersebut dipercayai untuk dipasarkan di sekitar negeri ini," katanya.
Zainuddin berkata, kedua-dua kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!