[DIKEMASKINI] Polis sahkan kematian Adly tiada unsur jenayah
SABAK BERNAM - Polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah boleh dikaitkan pada mayat seorang lelaki yang ditemui meninggal dunia di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Baharu di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, mangsa dikenali sebagai Mohamad Adly Nordin, 35, yang dilaporkan hilang sejak 28 April lalu dipercayai sudah mereput sejak tujuh hari lalu.
"Pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mengesahkan mayat tiada kesan cedera dan berlaku pergelutan," katanya.
Terdahulu, mayat mangsa ditemui seorang lelaki yang terhidu bau busuk ketika ingin memburu babi di kebun itu pada jam 11 pagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Mohamad Adly akhirnya ditemui meninggal dunia
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pengadu yang terkejut dengan penemuan tersebut kemudian terus melaporkan kejadian itu di balai polis berhampiran.
Menurut beliau, waris mangsa turut mengesahkan mayat ditemui itu ialah ahli keluarga mereka yang mengalami masalah kemurungan dan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.
"Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya.
Semalam, Sinar Harian melaporkan, seorang ibu buntu memikirkan keselamatan anak angkatnya yang dipelihara sejak bayi selepas pemuda itu tidak pulang ke rumah sejak 28 April lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pulanglah Mohamad Adly...
Yatimah Sairan @ Ahmad, 70, berkata, kehilangan Mohamad Adly Noordin, 34, disedari ketika dia berada di Felda Gedangsa, Kuala Kubu Bharu apabila anak angkatnya itu tidak pulang ke rumah mereka di Jalan Permatang, Kampung Tebuk Jawa di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!