'Barcelona jangan silap langkah'
GERGASI Sepanyol, Barcelona dinasihatkan supaya tidak melakukan kesilapan menjual pemain tengahnya, Arthur Melo.
Legenda Barcelona, Rivaldo berkata, Arthur mempunyai potensi besar untuk menjadi pemain bintang masa depan buat kelab Catalan itu.
Barcelona ketika ini sedang cuba mendapatkan pemain Juventus, Miralem Pjanic untuk menguatkan jentera tengah pasukan itu musim depan.
Namun, The Old Lady dilaporkan enggan melepaskan pemain berusia 30 tahun itu ke Camp Nou sehingga Barcelona berkemungkinan menawarkan Athur sebagai salah satu syarat pembelian.
"Khabar angin mengatakan Barcelona tertarik untuk mendapatkan Pjanic. Walaupun dia pemain yang baik, saya percaya kelab seharusnya lebih fokus kepada pemain sedia ada dan menamatkan liga musim ini.
"Malah, Barcelona juga seharusnya tidak melepaskan Arthur kerana dia mempunyai bakat luar biasa dan bakal menjadi pemain penting untuk kelab.
"Dia akan menunjukkan potensinya sekiranya diberikan lebih banyak peluang bermain dalam pasukan dan jurulatih memberikan ruang untuknya membuktikan keupayaan," katanya.
Pemain berusia 23 tahun itu menyertai Barcelona dari kelab Brazil, Gremio pada 2018 dan mula menampilkan permainan berkualiti selain menjadi pemain tengah penting buat pasukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!