Longkang di Batu Maung dicemari sisa buangan
GEORGETOWN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa siasat dan tindakan segera diambil berhubung masalah pencemaran sisa buangan di dalam longkang di kawasan Batu Maung di sini.
Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, kawasan itu didapati amat menjijikkan serta berbau busuk apabila longkang dipenuhi pelbagai sisa buangan termasuk plastik dan air di dalamnya juga berwarna hitam pekat dan berbuih.
Menurutnya, terdapat tompok cecair berwarna kemerah-merahan berhampiran saluran di tepi longkang yang meragukan dan dibimbangi mengandungi bahan berbahaya.
“Kita percaya jika longkang itu tidak dibersihkan dan perbuatan membuang sisa berterusan masalah pencemaran di kawasan tersebut akan merebak terutama ketika hujan apabila segala bahan kotoran dibawa arus ke laut.
“Lebih membimbangkan lagi jika sisa buangan itu mengandungi bahan toksik yang boleh memberi kesan lebih buruk ke atas alam sekitar, kehidupan manusia dan hidupan laut pada masa akan datang,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
SM Mohamed berkata, bukan sahaja boleh menimbulkan masalah kesihatan kepada orang ramai malah sungai dan laut yang menjadi tempat para nelayan mencari rezeki akan turut terjejas sekali gus mengancam mata pencarian mereka.
“Justeru, pihak berkenaan diminta untuk kenal pasti punca sebenar kejadian ini dan mereka yang bertanggungjawab melakukan pencemaran.
“Tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil ke atas pencemar yang terlibat agar kejadian seperti ini tidak berulang,” katanya.
SM Mohamed berkata, matlamat kerajaan Pulau Pinang untuk menjadikan negeri ini bersih, hijau, sihat dan selamat tidak akan tercapai jika masalah kebersihan gagal ditangani dengan berkesan.
“Kami menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera dalam isu ini supaya masalah pencemaran ini dapat diatasi dan tidak mengundang bahaya kepada masyarakat di kawasan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!