Terengganu benarkan solat Jumaat bermula 22 Mei
Gambar hiasan
A
A
A
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, keputusan itu diambil setelah menjunjung perintah dan perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin serta mengambil kira pandangan Jawatankuasa Fatwa Terengganu yang bersidang pada 12 Mei lalu.
"Terengganu bersetuju membenarkan solat Jumaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 22 Mei 2020 dengan mengambil kira syarat-syarat ditetapkan bagi membendung penularan pandemik koronavirus (Covid-19)," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, antara syarat ditetapkan adalah hanya satu masjid untuk satu daerah dibenarkan menunaikan solat Jumaat dengan bilangan jemaah tidak melebihi 40 orang.
Katanya, butiran diri ahli jemaah juga perlu dicatatkan dengan teliti termasuk pemeriksaan suhu badan dan pemakaian sanitasi sebelum memasuki masjid.
"Individu berusia 60 tahun ke atas tidak dibenarkan hadir termasuk mereka yang bergejala sesak nafas, sakit tekak, batuk, demam, selesema serta mengalami sejarah kesihatan seperti darah tinggi, kencing manis, lelah, barah dan sebagainya," katanya.
Dalam pada itu katanya, jemaah masjid juga diarahkan melaksanakan penjarakkan sosial termasuk semasa solat sekurang-kurangnya satu meter serta wajib memakai topeng muka walaupun ketika solat.
"Jemaah masjid disarankan berwuduk terlebih dahulu dan membawa sejadah sendiri ke masjid.
"Tiada kontak sosial dibenarkan seperti berjabat tangan sama ada sebelum atau selepas solat dan para jemaah hendaklah terus beredar meninggalkan masjid setelah selesai solat," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, khutbah Jumaat pula perlu ditumpukan kepada rukun sahaja dalam tempoh tidak lebih daripada tujuh minit untuk kedua-dua khutbah.
"Sembahyang sunat tidak dibenarkan sepanjang berada di masjid kecuali solat sunat tahiyatul masjid.
"Selain itu, aliran udara dalam masjid pula perlu dipastikan bersih dengan membuka semua jendela dan menggunakan kipas angin sahaja. Penggunaan pendingin hawa tidak dibenarkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!