23 ADUN Perikatan Nasional selesai menghadap Sultan Kedah
ALOR SETAR - Seramai 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional selesai menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di sini kira-kira jam 12 tengah hari ini.
Kenderaan yang membawa Sultan Sallehuddin dilihat meninggalkan Wisma Darul Aman pada jam 12.15 tengah hari setelah selesai urusan menerima menghadap berkenaan.
Terdahulu, kenderaan yang membawa Ketua Pembangkang, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga ADUN Jeneri dari Pas dilihat keluar dari Wisma Darul Aman pada jam 10.40 pagi diikuti ADUN-ADUN lain termasuk dua ADUN bebas, Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam).
Ketika diminta mengulas mengenai pertemuan berkenaan, Muhammad Sanusi hanya membuat isyarat diam dan enggan mengulas lanjut.
Antara 23 ADUN yang dilihat memasuki Wisma Darul Aman bagi menghadap Sultan Sallehuddin ialah Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Tokai), Datuk Siti Ashah Ghazali (Merbau Pulas), Datuk Suraya Yaacob (Sungai Tiang) dan Datuk Norsabrina Mohd Noor (Bandar Baharu).
Sementara itu, Sultan Sallehuddin akan menerima menghadap ADUN Pakatan Harapan (PH) pada jam 3 petang ini.
Dijangkakan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak akan hadir pada sesi pertemuan berkenaan.
Selasa lalu, Muhammad Sanusi mengumumkan Perikatan Nasional Kedah boleh dibentuk setelah beroleh 23 sokongan majoriti ADUN yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Mukhriz.
Komposisi Perikatan Nasional Kedah kini dianggotai 15 ADUN Pas, empat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan masing-masing dua daripada UMNO dan bebas yang juga bekas ADUN PKR.
Perubahan itu juga menyaksikan kerajaan PH pimpinan Mukhriz tumbang dengan hanya beroleh 13 sokongan ADUN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!