Kerajaan sedia bantu rakyat Malaysia di Rusia pulang

Kedutaan Malaysia di Rusia sentiasa bersedia untuk memberi bantuan memudah cara kepada rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air atas tanggungan sendiri.- Gambar hiasan
Kedutaan Malaysia di Rusia sentiasa bersedia untuk memberi bantuan memudah cara kepada rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air atas tanggungan sendiri.- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kedutaan Malaysia di Rusia sentiasa bersedia untuk memberi bantuan memudah cara kepada rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air atas tanggungan sendiri.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Rusia, Johan Ariff Abdul Razak berkata, sehingga 12 Mei, jumlah rakyat Malaysia di Rusia yang berdaftar dengan kedutaan adalah 923 orang dengan 902 daripadanya merupakan pelajar.

Menjelaskan bahawa tiada halangan bagi mana-mana rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air, beliau berkata isu utama yang dihadapi pada masa ini adalah ketiadaan penerbangan komersial dari Rusia ke Malaysia.

Pada Mac lepas, kerajaan Rusia menutup semua sempadan negara itu dan menggantung semua operasi penerbangan komersial.

"Sebelum Kerajaan Rusia mengambil keputusan tersebut, kedutaan telah menasihati rakyat Malaysia agar tidak menangguhkan kepulangan ke Malaysia sekiranya tiada sebab penting untuk terus berada di Rusia," katanya ketika dihubungi Bernama.

Johan Ariff berkata, pihak kedutaan sentiasa membantu rakyat Malaysia yang ingin pulang dengan kumpulan terakhir berjaya diterbangkan keluar pada 31 Mac.

Baru-baru ini, media melaporkan pelajar Malaysia di Rusia berharap kerajaan membawa mereka pulang berikutan bimbang dengan situasi pandemik Covid-19 di negara berkenaan.

Mengenai keadaan rakyat Malaysia di negara itu, Johan Ariff berkata, pelajar dan rakyat Malaysia di Rusia berada dalam keadaan sihat dan selamat malah pihaknya sentiasa mengikuti rapat status terkini kesihatan, keselamatan dan kebajikan setiap pelajar terutamanya melalui wakil dan ketua pelajar.

Artikel Berkaitan:

"Bagi rakyat Malaysia yang tinggal dalam komuniti seperti di Moscow, Kursk, Nizhny Novgorod dan Volgograd, mereka perlu sentiasa berhubung rapat dengan wakil atau ketua pelajar di lokasi masing-masing.

"Semua rakyat Malaysia dinasihatkan berdaftar dengan kedutaan agar keberadaan mereka semasa di negara ini dapat dipantau," katanya.

Rusia turut mengambil langkah melaksanakan Perintah Berkurung dalam usaha memerangi Covid-19.

Jelasnya, perbezaan ketara adalah dari segi pematuhan rakyat terhadap arahan kerajaan apabila sebilangan rakyat tempatan dilihat tidak mengambil serius seruan dan arahan kerajaan mereka.

"Ini sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya pelajar yang duduk di asrama yang sama dengan rakyat tempatan," katanya.

Mengenai jaminan bekalan makanan terhadap rakyat Malaysia, Johan Ariff berkata, bekalan makanan di Rusia secara keseluruhannya mencukupi termasuk makanan halal.

"Pihak kedutaan akan sentiasa memantau dan menghulurkan bantuan konsular sewajarnya, berkolaboratif bersama kerajaan Rusia sekiranya terdapat masalah berkaitan bekalan makanan halal," katanya.

Sehingga semalam, Rusia merekodkan 242,271 kes Covid-19 dengan 2,212 kematian.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!