Al-Ulum Al-Syari’yyah catat keputusan terbaik
BAGAN DATUK - Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Ulum Al Syari’yyah bagi tahun 2018 mencatat keputusan terbaik dalam sejarah.
Pengetuanya, Mohd Nazri Mokhtar berkata, sekolah itu berjaya mencatat 100 peratus lulus dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.53.
Menurutnya, untuk rekod juga, prestasi Al Ulum Al Syari’yyah juga menunjukkan peningkatan bagi GPS STAM untuk tiga tahun berturut-turut bermula pada tahun 2016 (2.74), 2017 (2.72) dan 2018 (2.53).
“Seramai 40 orang calon mengambil peperiksaan STAM 2018. Daripada jumlah itu, lima mendapat pangkat Mumtaz; 10 orang mendapat pangkat Jayyid Jiddan, 21 orang mendapat pangkat Jayyid dan empat orang lagi mendapat pangkat Maqbul.
“SMA Al Ulum Al Syari’yyah adalah satu-satunya Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di Daerah Bagan Datuk dan daripada 22 SABK di Perak, Al Ulum berada di tangga kedua dalam keputusan STAM 2018,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Mohd Nazri berkata, pelajar terbaik STAM 2018 bagi sekolah tersebut ialah Nurul Nadiah Ridzuan, 19, yang mendapat 9 Mumtaz dan 1 Jayyid Jiddan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!